Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur : Sejumlah RM206 juta wang rakyat negara ini masih tidak dituntut pewaris daripada syarikat peramanahan dan pewarisan utama negara, Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) sejak lebih 15 tahun lalu.

Pengerusi AmanahRaya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jumlah wang menunggu dituntut itu daripada 20,000 kes, kebanyakannya membabit nilai pampasan pengambilan tanah oleh kerajaan.

“Wang itu di AmanahRaya dan kami sedang mengesan pewaris sejak lebih 15 tahun lalu. Ada kes yang sudah mati sehingga dua tiga keturunan pun warisnya belum ditemui.

“Perkara ini membabitkan hak dan tidak boleh memberi wang itu sewenang-wenangnya,” katanya di Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik AmanahRaya dan Pos Malaysia Berhad di Kompleks Dayabumi, semalam.

Hadir sama Pengerusi Pos Malaysia Tan Sri Mohd Khamil Jamil dan Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya Datuk Abdul Rahman Md Khalid.

Mengulas lanjut Reezal Merican berkata, menerusi kerjasama strategik dengan Pos Malaysia itu, AmanahRaya yakin ia dapat membantu syarikat itu mengesan lebih ramai pewaris harta yang tidak dituntut selain mendaftar wasiat asas dengan syarikat itu.

“AmanahRaya mempunyai 19 cawangan pejabat di seluruh negara berbanding Pos Malaysia, 595 cawangan yang tentu sekali memudahkan rakyat sama ada Islam dan bukan Islam mendaftar dengan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 7:57 AM