100 unit kereta Toyota Hilux untuk kegunaan pekerja di seluruh negara.
100 unit kereta Toyota Hilux untuk kegunaan pekerja di seluruh negara.

Serdang: UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota Motor) mahu mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam segmen trak pikap menerusi model Toyota Hilux dengan sasaran sehingga 23,000 unit jualan pada tahun ini.

Pengarah Bahagian Kumpulan Operasi dan Sokongannya Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, Toyota Hilux adalah trak pikap yang popular dengan penguasaan pasaran hampir 50 peratus di negara ini.

Menurutnya, bagi mencapai sasaran itu, pihaknya memperkenalkan model Toyota Hilux yang dipertingkatkan pada awal tahun ini dan mendapati varian TRD menerima sambutan memberangsangkan.

“Kami juga peka dengan kemahuan pelanggan dan mahu memberi kepuasan kepada pemilik kenderaan dalam perkhidmatan selepas jualan.

“Sejak diperkenalkan pada 2005, Toyota Hilux sudah pun dijual melebihi 180,000 unit di Malaysia, malah menjadi trak pikap popular di dunia yang boleh didapati 140 negara,” katanya selepas majlis Penyerahan Toyota Hilux Kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), semalam.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Perolehan dan Pengurusan Vendor, Bahagian Pembahagian TNB Mohd Adibi Ambak berkata, pihaknya memperuntukkan kira-kira RM30.8 juta bagi menempah 292 unit Toyota Hilux.

Menurutnya, penyerahan kenderaan itu akan dilakukan secara berperingkat dan peringkat awal pihaknya menerima 100 unit.

Katanya, sehingga kini, pihaknya mempunyai 550 unit trak pikap daripada pelbagai model dan jenama untuk kegunaan pekerjanya di seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 7:40 AM