MUSTAPA (dua dari kiri) melihat kereta Toyota Camry Hybrid 2.0.
MUSTAPA (dua dari kiri) melihat kereta Toyota Camry Hybrid 2.0.
Oleh Hafiz Ithnin


Shah Alam: UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota Motor) melancarkan kereta hibrid pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD), Toyota Camry pertama varian hibrid dan Toyota Camry 2.0 liter yang dipasang di pusat pemasangan Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) di Shah Alam.

Projek CKD dengan nilai pelaburan RM180 juta daripada UMW Toyota Motor sejak 2010 hingga 2015 itu mengeluarkan sehingga 9,000 unit Toyota Camry setahun dengan pecahan 7,000 unit varian hibrid dan selebihnya gasolin.

Presidennya, Datuk Ismet Suki berkata, Toyota Camry baru itu dijangka dapat dijual sehingga 900 unit sebulan dengan 750 unit adalah varian hibrid dan selebihnya gasolin bersandarkan pelaksanaan projek CKD berkenaan.

Beliau berkata, pengenalan model berkenaan turut membantu UMW Toyota Motor mencatatkan 100,000 unit jualan kenderaan keseluruhannya pada tahun ini.

“Prestasi jualan kami masih lagi banyak disumbangkan oleh model Vios dan Lexus iaitu sekitar 50 peratus dan Toyota Camry dijangka mampu membantu meningkatkan prestasi jualan pada tahun ini.

“Dari segi penguasaan pasaran, kami mencatatkan 15 peratus dalam segmen kenderaan bukan nasional ketika ini dan menjangkakan peratusan itu sama sehingga hujung 2015,” katanya pada majlis pelancaran Toyota Camry Hibrid serba baru CKD di sini, semalam.

Hadir sama merasmikan majlis itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa, Pengerusi UMW Toyota Motor, Tan Sri Asmat Kamaludin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd, Datuk Syed Hisham Syed Wazir.

Toyota Camry baru itu bakal dilancarkan kepada media pada April ini dengan harga jualan tidak dapat diumumkan, namun ia dijangkakan di bawah RM200,000 seunit.

Sehingga kini, UMW Toyota Motor telah menjual lebih daripada 16,000 unit Toyota Camry sejak kali pertama diperkenalkan pada 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 7:40 AM