FATIN FARHANA JAPRE kagum dengan keupayaan seorang remaja perempuan yang berkebolehan mengukir bermacam bentuk kek aising pada usia muda.

Kek aising atau lebih popular dengan nama "kek fondant" semakin digemari kanak-kanak dan remaja seiring dengan cita rasa yang semakin berubah. Berbanding dulu, hanya kek disaluti krim mentega yang menjadi pilihan untuk majlis hari jadi.

Melihat pada ketelitian dan kecekapan seorang remaja perempuan mengukir dan membentuk gula aising untuk dijadikan sekuntum bunga, ternyata pembuatan kek aising bukanlah perkara yang mudah. Walaupun nampak ringkas, namun setiap langkah dalam penghasilan hiasan memerlukan ketelitian terutama dari segi pemilihan warna, pembentukan dan susun atur hiasan.

Sedar akan bakat dan minatnya lebih pada penghasilan kek aising, remaja berkelulusan Diploma Pastri dan Bakeri dari Food Institute of Malaysia (FIM) memulakan perniagaan dari rumah dan laman sosial Instagramnya, Duchess of Cake.

Persaingan yang tinggi dan kos pelajaran yang semakin meningkat mengubah pemikirannya untuk terus mencari duit sendiri dengan menggunakan bakat dan kelebihan dimiliki. Lebih menarik lagi kini permintaan kek aising pelbagai bentuk mendapat permintaan yang tinggi.

Doh aising boleh diwarnakan mengikut warna kegemaran, dicanai dan dibentuk mengikut apa saja bentuk yang dipilih. Bahkan boleh menghasilkan beraneka bunga comel, haiwan seperti beruang kecil, reben, karakter kartun dan sebagainya. Tidak ramai remaja meminati hasil seni ini kerana ia menggunakan banyak teknik untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

Menurut Hannan Sh Mubarak, 22, hiasan untuk kek aising seperti bunga dan karakter kartun perlu dibentuk seminggu sebelum tarikh tempahan kerana perlu dikeringkan selama tiga hari manakala sebuah kek memerlukan masa lapan jam untuk siap sepenuhnya.

Kek aising lima tingkat untuk majlis perkahwinan saja mengambil masa tujuh hari untuk disiapkan.

Bagaikan trend masa kini, remaja sangat gemar menempah kek ini untuk majlis perkahwinan dan pertunangan mereka selain majlis hari jadi.

Kek perisa red velvet yang dibentuk menjadi beg tangan Louis Vuitton selalu mendapat tempahan untuk dijadikan hantaran.

Sejajar dengan keunikan bentuknya, kek ini biasanya dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding dengan kek krim mentega biasa dan bergantung pada nilai seninya. Semakin sukar seni hiasan yang dibuat, semakin tinggi nilai harga kek yang dijual.

Kek ini dijual mengikut saiz dan seni hiasan, bukan mengikut berat. Tidak mustahil kek hantaran yang tinggi nilai seninya seperti beg tangan Louis Vuitton dijual pada harga antara RM250 hingga RM350 sebiji.

Mungkin jika dilihat hasil kek aising ini semuanya lebih kurang sama namun tidak bagi Hannan kerana dia mempunyai resipi, bahan dan teknik tersendiri untuk menghasilkan kek aising lebih sedap dan menarik. Meskipun terpaksa mengorbankan masa tidurnya, dia amat teliti menyiapkan setiap tempahan supaya pelanggannya berpuas hati.

"Pada usia semuda ini saya berjaya menjana pendapatan sendiri, saya akui hasilnya sangat lumayan walaupun kek aising sangat susah dibuat namun kerana minat dan bakat yang ada, saya sangat gembira dapat menghasilkannya untuk orang lain," katanya.

Bagi remaja yang mempunyai minat atau bakat dalam pembuatan kek ini bolehlah menjadikan Hannan sebagai sumber inspirasi anda di samping dapat menjana pendapatan untuk diri sendiri. Jangan berikan alasan selagi kita sendiri tidak mencuba dan berusaha. Setiap orang dilahirkan dengan bakat dan kreativiti yang tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 9:12 AM