PELAJAR cemerlang di India, Ayush Kishore. FOTO Agensi
PELAJAR cemerlang di India, Ayush Kishore. FOTO Agensi
Agensi

SEORANG pelajar cemerlang di India dianggap sebagai wira apabila menggunakan wang biasiswa yang diterimanya untuk membebaskan 14 banduan yang tidak mampu menjelaskan denda mereka selepas menjalani hukuman penjara.

Ayush Kishore, 14, yang pernah menerima anugerah Kanak-Kanak Kebangsaan 2016 menggunakan wang biasiswa diterimanya berjumlah 27,850 rupee (RM1,651) membebaskan beberapa banduan sempena Hari Kemerdekaan.

Banduan berkenaan sudah menghabiskan tempoh tahanan mereka di penjara tetapi masih ditahan kerana tidak mampu melunaskan denda yang dikenakan.

Hindustan Times melaporkan, remaja itu berhasrat untuk membantu mereka kerana sedih dengan insiden cubaan beberapa banduan melarikan diri dari penjara di Bhopal yang menyebabkan seorang terbunuh.

“Ibu memberitahu ramai banduan miskin. Mereka bekerja di penjara bertahun-tahun untuk membayar denda. Ada yang tidak mampu membayar untuk bebas walaupun hanya 2,000 rupee (RM118) dan sebab itu saya ingin membantu,” katanya.

Ibunya yang juga pegawai polis, Vineeta Malviya berkata, anaknya banyak bertanya mengenai penjara serta banduan.

“Dia tersentuh dengan kejadian di Bhopal dan banyak bertanya mengenai penjara dan banduan serta menunjukkan semangat untuk membantu,” katanya.

Hasil sumbangan Kishore seramai 12 banduan bakal dibebaskan dari penjara di Indore dan dua lagi di penjara di Bhopal pada Hari Kemerdekaan India pada Rabu ini.

Menurut media tempatan, semua banduan berkenaan adalah pesalah kes bunuh yang sudah menamatkan tempoh hukuman mereka tetapi belum dibebaskan kerana tiada wang untuk membayar denda. - Agensi

13hmprison

AYUSH Kishore

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 9:41 PM