MODENAS Jaguh bertukar cafe racer.
MODENAS Jaguh bertukar cafe racer.
Oleh Erywan Norshal

"Ramai tidak menyangka motosikal cafe racer ini berasal daripada Modenas Jaguh," kata Abdul Halim Ahmad, 45, yang melakukan modifikasi jentera itu.

Menurutnya, proses melakukan ubah suai Modenas Jaguh itu tidak terlalu sukar kerana beliau mempunyai pengalaman dalam kimpalan kenderaan sejak 20 tahun lalu.

Katanya, fenomena motosikal cafe racer masih baru di negara ini dan dia mula berjinak-jinak menghasilkan jentera berkonsep berkenaan sejak tahun lalu.

"Dalam tempoh itu, enam motosikal cafe racer dihasilkan dan yang ini adalah jentera terbaik pernah dilakukan.

"Motosikal ini hanya mengekalkan 20 peratus komponen asal membabitkan kerangka dan enjin, manakala selebihnya ditempah khas serta dipasang komponen yang dibeli di kedai aksesori atau melalui Internet," katanya.

Abdul Halim berkata, proses pertama modifikasi itu adalah 'membogelkan' semua komponen asal, selain mengubahsuai kerangka untuk dipadankan suspensi tunggal jenama Suzuki GSX bagi bahagian belakang.

Menurutnya, suspensi depan pula ditingkatkan penyerap hentak terbalik warna keemasan dengan gabungan Sistem Antikunci Brek (ABS).

Katanya, bagi melengkapkan lagi konsep cafe racer, tangki dan bahagian belakang motosikal itu ditempah dengan reka bentuk tersendiri menggunakan kepingan besi 0.8 milimeter.

"Rim hitam daripada jenama Racing Boy turut digunakan yang dibaluti tayar Pirelli kategori besar bersaiz 140/70/R17 untuk depan, manakala belakang menggunakan 150/70/R17.

"Sistem ekzos dibuat semula menggunakan rekaan konsep cafe racer, selain ia dibalut penebat untuk mengurangkan kepanasan," katanya.

Menurutnya, enjin Modenas Jaguh bersesaran 175 cc masih lagi standard, tetapi karburator ditukar kepada jenis Kawasaki SP.

Sementara itu, pemilik motosikal berkenaan, Hayrulizwan Hasshim, 31, berkata, motosikal itu menerima sentuhan warna menarik membabitkan merah serta perak 'metal flake' dengan rekaan lama.

Menurutnya, dia mengeluarkan belanja hampir RM8,000 bagi menyiapkan motosikal itu dalam tempoh dua bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:01 AM