KERANGKA dan panel mendatar unik.
KERANGKA dan panel mendatar unik.
Lizam Ridzuan


CABARAN utama ialah perlu menjadikan kerangka motosikal Honda CBX750P yang digunakan anggota polis trafik satu ketika dulu sebagai 'cafe racer'.

Itu antara yang dikongsi Mohamad Irwann Mohd Azlan, 30, pemilik bengkel ubah suai motosikal FNG Works dari Ipoh, Perak.

Motosikal keluaran 1994 itu milik pelanggannya yang berasal dari Pulau Pinang.

Pelanggan berkenaan yang juga peminat aktiviti permotoran turut memiliki beberapa motosikal lain.

Kata Mohamad Irwann, pelanggannya itu mahu menampilkan jentera berkenaan sebagai lain daripada yang lain dan dia perlu merealisasikannya.

"Proses pertama ialah menanggalkan semua komponen, hanya tinggalkan kerangka, enjin, fork, lengan hayun, tayar hadapan dan belakang.

"Kemudian, saya rakam gambar motosikal untuk melakukan lakaran dalam komputer. Ia bagi memastikan bentuk dihasilkan lebih seakan sama berbanding lakaran tangan di atas kertas," katanya.

Menurut Mohamad Irwann, hasil perbincangan dengan pelanggan itu, konsep 'Cyberpunk' diketengahkan bagi ubah suai jentera berkenaan.

CAFE Racer Honda CBX750.
CAFE Racer Honda CBX750.

Katanya, ketika mencari idea lakaran, permainan elektronik Cyberpunk 2020 baharu sahaja dilancarkan dan ia mempengaruhi penghasilan jentera berkenaan.

"Pada mulanya, pelanggan tidak mahu bahagian kerangka dipotong, namun itu agak mustahil kerana ia adalah motosikal ciri 'cruiser'.

"Selepas berbincang, bagi mendapatkan garis badan motosikal yang sesuai, maka pemotongan pada bahagian suspensi belakang iaitu pada tapak penyerap hentakan dilakukan. Ia bagi mendapatkan bentuk sebuah 'cafe racer'," katanya.

Menurut Mohamad Irwann, perubahan kecil itu tidak menjejaskan bentuk asalnya, namun ia membolehkan garisan mendatar dilakukan dengan kerja khusus pada kerangka motosikal dan 'cover' tepi menjadikan ia tampil lebih agresif.

Pada bahagian belakang, bagi disesuaikan dengan konsep, Mohamad Irwann menghasilkan bentuk 'ekor' gaya motosikal perlumbaan TT tahun 70-an dan 80-an.

MENAMPILKAN ciri jentera perlumbaan 70-an.
MENAMPILKAN ciri jentera perlumbaan 70-an.

Bukan itu saja, malah lampu belakang dengan kemasan krom menambah elemen retro.

Rekaan hadapan diserlahkan dengan lampu yang seakan-akan tenggelam dalam 'fairing' menjadikan ia lebih garang.

Untuk elemen moden, ia dipasang dengan lampu LED dan lampu nyalaan siang (DRL) berwarna kuning.

Tangki bahan api baru juga dipasang dengan bentuk seakan motosikal Honda CB pada zamannya yang dilengkapi pengukur bahan api yang mana versi asal tidak dilengkapi ciri ini.

Lain-lain perubahan yang dilakukan ialah fork hadapan direndahkan 2.5 inci untuk geometri dan 'stance' yang lebih lincah.

Ekzos ditukar pada muffler dengan bentuk megaphone dan sistem manifold asal 4-2-1-2 ditala semula bagi disesuaikan dengan sistem baru itu.

Tayar juga digantikan dengan model Pirelli Route dengan saiz yang lebih lebar untuk gaya jentera prestasi.

METER dan indikasi tahap bahan api.
METER dan indikasi tahap bahan api.

Mohamad Irwann menambah, tiada pengubahsuaian dilakukan pada enjin 747cc empat silinder selari dan trenkuasa dengan enam kelajuan pacuan shaft bagi mengekalkan ketahanan dan kelasakan.

Ia hanya diberi sentuhan warna hitam dan kemasan krom pada beberapa bahagian motosikal untuk tampak seakan baharu.

Warna fairing metalik royal blue dan corak garisan merah dan putih adalah pilihan Mohamad Irwann yang mahu ia lebih menyerlah daripada jauh.

Projek bermula pada September tahun lalu itu mengambil masa sembilan bulan untuk disiapkan kerana situasi ketika pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Untuk kerja mengecat dan krom, 'bushing' serta yang memerlukan mesin, saya dapatkan pakar dalam bidang itu untuk hasil yang berkualiti,

"Bagi mematuhi PKP, ada yang menutup operasi, maka ia mengambil masa lama untuk disiapkan. Kebiasaannya, ia hanya memerlukan sebulan hingga enam bulan, bergantung jenis pengubahsuaian," katanya.

Kos keseluruhan menyiapkan motosikal ini ialah sekitar RM18,000.

FNG Works memulakan operasi pada 2017 dengan melakukan kerja binaan khas untuk motosikal.

Untuk motosikal berkonsep 'cafe racer' ini, ia adalah yang kedua dihasilkan selepas yang pertama dihasilkan pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 6:35 AM