Agensi

Manado: Seorang lelaki yang sering kesunyian kerana berjauhan daripada isterinya mengaku mencuri pakaian dalam wanita di sebuah pasar raya untuk diberikan kepada wanita lain.

Media semalam melaporkan, Hawandi Andi Andes mengaku dia melakukan kegiatan itu lebih daripada sekali.

Hawandi, 50, berkata isterinya berada jauh kerana bekerja dan dia perlu mencari wanita lain untuk menghiburkan hati.

“Pakaian dalam yang saya curi dihadiahkan kepada mana-mana wanita yang sanggup menemani saya atau penghibur kelab malam.

“Wang daripada kegiatan mencuri ini juga saya gunakan untuk berbelanja di pusat hiburan,” katanya.

Sebelum itu, Hawandi ditangkap polis selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di sebuah pasar raya.

Pengurus pasar raya Multi Mart di Tikala, Feiby Makahinda berkata, perbuatan Hawandi dikesan melalui pemantauan kamera litar tertutup di premis berkenaan.

“Apabila pengawal keselamatan menahannya, kami menemui pelbagai barang di dalam poket seluar dan kemeja suspek, termasuk coklat, minyak wangi dan seluar dalam wanita,” katanya.

Feiby berkata, Hawandi tidak dapat memberi sebarang dalih kerana dia ditangkap bersama bukti.

Sementara itu, Hawandi berkata, dia berazam untuk berubah.

“Saya tidak akan mencuri lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:09 AM