KURUNG moden menyerlahkan keanggunan pemakai.
KURUNG moden menyerlahkan keanggunan pemakai.
PILIHAN warna mengikut cita rasa pelanggan.
PILIHAN warna mengikut cita rasa pelanggan.
BUTIK Muslimah4u di Taman Selaseh, Batu Caves yang selesa.
BUTIK Muslimah4u di Taman Selaseh, Batu Caves yang selesa.
ANTARA koleksi kemeja-T Muslimah yang mendapat sambutan.
ANTARA koleksi kemeja-T Muslimah yang mendapat sambutan.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Bermula dengan menjual kemeja-T Muslimah secara sambilan kepada rakan pejabat, siapa sangka wanita muda ini berjaya membina empayarnya sendiri dengan menjadi antara pembekal terbesar pakaian itu kini.

Berpeluang bertemu mata pemilik Muslimah4U, Ummu Habibah Abd Rahman, 29, di butiknya baru-baru ini, benarlah kata orang segalanya bukan mustahil asalkan kegigihan dan sikap tidak putus asa sentiasa mengiringi usaha untuk menggapai kejayaan.

Bermula dari bawah, Ummu kini boleh berbangga dengan pencapaiannya memiliki kilang pengeluaran kemeja-T Muslimah dan kemeja-T sukan muslimah terletak di Batu Caves, Selangor ini.

"Syukur, saya baru saja menerima tempahan 10,000 helai kemeja-T sukan Muslimah. Tidak sangka pula ramai yang berminat untuk menempahnya kerana kami baru saja mula mengambil tempahan awal tahun ini," katanya.

Mengimbau pembabitan awalnya dalam dunia fesyen, Ummu berkata, kerjaya berkaitan alam sekitar menuntutnya bekerja di luar pejabat sehingga satu masa dia tidak dapat menumpukan perhatian untuk rumah tangga dan anak.

Bermula dari itu dia nekad melepaskan jawatannya dan meluaskan perniagaan dengan menjadi stokis dan pemborong kemeja-T Muslimah pada 2010 dan selama dua tahun menimba pengalaman, dia akhirnya memulakan jenamanya sendiri.

Hasil usaha tanpa mengenal putus asa, jenamanya semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita dan kini menjadi antara pengeluar produk kemeja-T Muslimah.

Dengan kapasiti pengeluaran hampir 4,000 helai sebulan, wanita kelahiran Segamat, Johor ini mengakui tidak pernah membuat mana-mana pinjaman daripada institusi kewangan sebaliknya selesa bermula dari bawah.

"Selain jualan runcit di butik maya dan fizikal, saya banyak menerima tempahan secara borong dan ramai peniaga kini menjadi stokis untuk jenama ini.

"Mungkin kerana kemeja-T yang dikeluarkan syarikat saya mementingkan kualiti dan pada masa sama memenuhi cita rasa pelanggan yang ingin bergaya tapi menitikberatkan penjagaan aurat, ia mendapat sambutan luar biasa sejak awal saya menawarkan pakaian ini.

"Setiap minggu saya menghasilkan sekurang-kurangnya dua rekaan baru. Selain itu, kebanyakan produk saya mesra ibu menyusu dan wuduk di samping menggunakan fabrik kapas bermutu tinggi," katanya.

Kemeja-T Muslimah sebagai rekaan yang ringkas dan sesuai dipakai santai saja mungkin dianggap cliche bagi sesetengah orang, namun Ummu memastikan rekaannya juga boleh digayakan semua wanita sama ada pelajar mahupun yang sudah bekerja.

Potongan moden seakan-akan blaus juga membuatkan ia tampak elegan tapi dijual pada harga berpatutan.

Material yang digunakan juga mudah menyerap peluh dan amat sesuai dipakai dalam cuaca sederhana panas. Pelbagai rekaan baru dan warna yang menarik menanti pelanggan mereka setiap minggu.

Selain itu, ia juga menawarkan beberapa koleksi jubah dan kurung moden.

Apa yang menarik, kemeja-T Muslimah4U turut menyediakan saiz XS hingga 4XL bagi mereka yang berbadan besar tapi masih boleh tampil menarik dan bergaya feminin.

Menurut Ummu, harga kemeja-T antara RM59 hingga RM79 bagi saiz XS hingga XL manakala tambahan RM3 bagi saiz 2XL hingga 4XL.

Memiliki tiga rangkaian butik iaitu di Kuala Lumpur, Perak dan Pahang, Muslimah4u juga turut menerima tempahan secara dalam talian menerusi laman web www.muslimah4u.com dan mengalu-alukan pendaftaran sebagai ejen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:05 AM