Manchester, England: Louis van Gaal melabel warga senegaranya Robin van Persie 'bodoh' selepas caranya meraikan gol penyamaan dramatik lewat perlawanan buat Manchester United ketika seri 1-1 di laman sendiri dengan pendahulu Liga Perdana, Chelsea menyaksikan penyerang berpengalaman Belanda itu dilayangkan kad kuning.

Van Gaal kelihatan pasti kalah menentang pengurus Chelsea Jose Mourinho yang bekerja di bawah kendaliannya selama tiga tahun di Barcelona, hinggalah Van Persie merembat masuk pada minit ke-94 di Old Trafford, awal pagi semalam.

Namun ketika Van Gaal jelas lega meraih apa yang dianggapnya satu mata berharga, beliau tidak tertarik dengan gaya penyerang bintangnya meraikan gol dramatik itu.

"Anda lihat reaksi bodoh selepas jaringan," ujar Van Gaal. "Anda boleh teruja, tapi tidak perlu menanggalkan jersi. Kemudian anda menerima kad kuning, memang ia tidak bijak.

"Tapi ya, kami berhak mendapat satu mata. Anda tahu mengenainya, Mourinho pun pastinya sedar.

"Saya berkata kepada pemain, ia bukannya persembahan terbaik kami dan memang menyedihkan kerana saat ini anda perlu berdepan pasukan lebih bagus," jelas pengurus veteran Belanda itu yang menyaksikan pasukannya ketinggalan 10 mata di belakang Chelsea.

Van Persie seorang daripada sembilan pemain yang dilayangkan kad pada perlawanan itu. Kad merah terhadap Branislav Ivanovic kerana menerima kad kuning kedua, selepas kekasaran ke atas Angel di Maria menjurus kepada sepakan percuma yang memberikan peluang kepada Van Persie menyamakan kedudukan.

United tidak boleh mendabik dada dengan kunjungan ke Eastlands bagi pertembungan jiran setempat Manchester menentang juara bertahan Inggeris, City hujung minggu ini dan Van Gaal tidak pasti bagaimana pasukannya mampu meneruskan rentak baik menentang Chelsea.

"Anda tidak boleh meramalkannya," katanya. "Tapi saya seorang jurulatih gila dan saya berkata kepada pemain selepas perlawanan, biasanya anda perlu mempamerkan aksi terbaik menentang pasukan terbaik tapi kami tidak melakukannya hari ini."-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:01 AM