London: Bekas pengurus Manchester United David Moyes mengingatkan penggantinya, Louis van Gaal (gambar) supaya memastikan pasukan itu layak ke Liga Juara-Juara jika berhasrat mengekalkan jawatan selaku pengendali Red Devils.

Masa depan jurulatih Belanda itu menjadi semakin suram dan khabar angin mengenai kerusinya bakal diambil alih Jose Mourinho menjadi semakin kuat selepas anak buahnya tewas 1-2 kepada pasukan kelompok bawahan, Sunderland, Sabtu lalu.

Selepas wisel penamat dibunyikan di Stadium of Light, United yang menduduki tangga kelima, ketinggalan enam mata di belakang empat pasukan teratas dan Van Gaal serta kapten Wayne Rooney mengaku hanya dengan memenangi Liga Europa musim ini, peluang mereka untuk ke Liga Juara-Juara menjadi lebih mudah.

Tetapi Moyes yang cukup arif dengan risiko bakal ditanggung jika gagal di Old Trafford, menjangkakan masa depan pengurus kelab itu pasti terancam jika gagal layak ke saingan elit Eropah.

“Saya tahu Manchester United perlu layak ke Liga Juara-Juara. Saya rasa Manchester United perlu berada di kejohanan itu,” katanya.

“Mereka kelab yang mempunyai status tersendiri dan mahu berada di kejohanan berkenaan. Mereka sentiasa memikirkan soal Liga Juara-Juara kerana itu tahap mereka.”

Berdasarkan pengalaman pernah dilaluinya di United, Moyes melahirkan simpatinya kepada Van Gaal.

Beliau berkata: “Terlalu banyak perhatian yang diberikan media terhadap Louis ketika ini. Selepas saya hilang jawatan di situ, namanya disebut-sebut sebagai pengganti paling tepat oleh semua orang termasuk media. Kini, semua orang menganggap beliau patut dipecat.

“Jika anda ke Manchester United, itu yang akan anda terima. Anda akan mendapat perhatian media. Tapi saya masih percaya saya individu tepat untuk memegang jawatan itu.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 7:09 AM