Azaliha dan Pengarah Urusan Ayusline, Noor Dhiauddin Karim menunjukkan korset Kurv.
Azaliha dan Pengarah Urusan Ayusline, Noor Dhiauddin Karim menunjukkan korset Kurv.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Ayusline Sdn Bhd (www.ayusline.com) menyasarkan untuk menembusi pasaran timur tengah dan United Kingdom menjelang 2016, menerusi produk korset di bawah jenama KurV apabila mendapat permintaan untuk menjadi ejen di negara berkenaan.

Walaupun syarikat mendapat permintaan menjadi ejen dari luar negara, namun pasaran dalam negara akan diperkukuhkan terlebih dulu dengan sasaran 500 ejen akan berdaftar tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya, Azaliha Abdullah berkata, Ayusline tampil dengan korset yang boleh digunakan setiap hari dan dapat membantu pemakai mendapatkan bentuk badan ideal.

“Tumpuan di pasaran Malaysia perlu dilaksanakan terlebih dulu kerana syarikat komited menjadi pusat sehenti bagi produk korset dan pakaian dalam wanita yang memenuhi standard syariah untuk Muslimah.

“Kami turut menyasarkan menjadi syarikat pertama mengeluarkan jenama pakaian dalam wanita berlandaskan syariah dan lebih mudah untuk syarikat menembusi pasaran di timur tengah,” katanya.

Menurutnya, syarikat mengambil masa setahun melakukan fasa akhir KurV sebelum dilancarkan dalam pasaran dengan peruntukan modal sekitar RM300,000 bagi semua peringkat.

Azaliha berkata, pihaknya menyasarkan menjual 5,000 set KurV sebulan dan membuka peluang orang ramai menjadi ejen KurV dengan hanya perlu membeli 10 unit KurV bagi melayakkan mereka menjadi ejen.

Beliau berkata, syarikat berhasrat untuk melantik ejen untuk menjadi rakan niaga KurV berdasarkan prestasi jualan mereka.

“KurV adalah korset terkini yang mudah digunakan dan kami memilih fabrik berkualiti tinggi, sejuk, tidak bergulung dan menampilkan inovasi dari Itali. Selain itu, KurV juga didatangkan dengan warna kelabu serta mempunyai dua pilihan untuk dipakai iaitu cangkuk dan zip,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 9:45 AM