Oleh: Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: "Saya harap semua pihak menghormati amalan agama Islam dan tidak mencampurinya," kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berhubung laporan sebuah portal yang menyamakan tindakan kerajaan Kelantan yang mahu menguatkuasakan kewajipan bersolat Jumaat kepada golongan lelaki sebagai meletakkan orang Islam di bawah "kediaman terhad, seperti penjenayah berat".

Ahmad berkata, pihak terbabit sepatutnya menghormati amalan agama Islam kerana penganut Islam tidak pernah mencampuri amalan mereka.

Katanya, Islam tidak pernah mengkritik amalan agama lain dan sentiasa menghornati amalan agama lain yang bertentangan dengan Islam.

"Saya harap tiada pihak yang cuba mempertikai ibadah agama Islam kerana masing-masing mempunyai amalan tersendiri," katanya dalam sidang media selepas Majlis Sempena Pentadbiran PAS di Kelantan selama 24 Tahun dan pelancaran buku Khalifah karya beliau yang dilancarkan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini, tadi.

Ahmad berkata, amalan agama lain yang bertentangan dengan Islam sentiasa dihormati.

Beliau berkata, demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal kelmarin berhubung kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) yang mendakwa penguatkuasaan undang-undang itu akan memberi kesan serius kepada golongan lelaki Islam.

LFL dipetik berkata, tindakan kerajaan PAS negeri untuk mengenakan tindakan mengenakan hukuman penjara setahun terhadap orang Islam yang gagal hadir tiga solat Jumaat berturut-turut, bertentangan dengan perlembagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 3:34 PM