Chan yakin penyertaan tingkat reputasi Exabytes.
Chan yakin penyertaan tingkat reputasi Exabytes.

Kuala Lumpur: Exabytes Network Sdn Bhd (Exabytes), Exabytes dilantik menyertai Google AdWords Premier SME Partner (PSP) di Malaysia.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chan Kee Siak berkata, program untuk pengusaha kecil dan sederhana (PKS) itu dilihat dapat meningkatkan reputasi Exabytes.

“Kami gembira menjadi sebahagian PSP dan ini secara tak langsung membuktikan kemampuan syarikat sebagai penyedia penyelesaian hos web dan e-dagang di Asia Tenggara.

“Bagi terus meningkatkan keyakinan pelanggan, Exabytes menawarkan pakej dalam talian dengan harga yang menarik serta telus kepada pelanggan PKS kami,” katanya.

Menurutnya, lebih 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan Internet secara dalam talian untuk mencari maklumat mengenai perkhidmatan dan produk.

Beliau berkata, pemasaran dan pengiklanan dalam talian dijangka berkembang pesat beberapa tahun akan datang berikutan sekarang kurang 10 peratus PKS mengiklan dalam talian.

“Kami menyasarkan untuk melantik 1,000 PKS dan menguruskan pengiklan AdWords yang aktif menjelang 2016. Sebagai rakan kongsi Google AdWords, PKS juga boleh memberi tumpuan kepada produk dan pembangunan perniagaan untuk terus berkembang.

“Exabytes komited untuk memenuhi standard tertinggi dan kriteria Google termasuk latihan pengurusan yang menyeluruh. Ini melengkapkan kami untuk membantu PKS dengan penyelesaian pengiklanan AdWords yang sangat berkesan,” katanya.

Exabytes kini memberi perkhidmatan kepada lebih 70,000 pelanggan, dengan lebih 100,000 laman web dan sejuta akaun e-mel di seluruh dunia dari 121 negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 7:13 AM