SUPPAIYAH menunjukkan laman web LSN menerusi telefon pintar.
SUPPAIYAH menunjukkan laman web LSN menerusi telefon pintar.
SUPPAIYAH yakin masih ramai pembeli konvensional.
SUPPAIYAH yakin masih ramai pembeli konvensional.
Oleh Hafiz Ithnin

Pemasaran secara ‘online’ sememangnya menjadi satu fenomena pada hari yang mana kebanyakan pemain industri dalam kalangan ­berstatus enterprise menjadikan platform itu sebagai pemula perniagaan dan memberi kesan positif kepada perniagaan mereka.

Terdahulu dalam satu laporan akhbar tempatan melaporkan Malaysia setakat Disember 2014, mencatatkan penembusan jalur lebar sehingga 67 peratus dan kerajaan menerusi pelbagai usaha meningkatkan penggunaan internet di Malaysia meletakkan sasaran sehingga 75 peratus pada tahun ini.

Menerusi angka itu menunjukkan bahawa penggunaan Internet yang semakin berkembang di Malaysia bukan saja memudahkan kita untuk berkomunikasi, malah menjadikannya sebagai satu platform mengembangkan perniagaan.

Pemain industri teknologi maklumat gergasi antaranya Google memperkenalkan Google AdWords yang membantu usahawan memasarkan produk mereka dengan membayar pada harga berpatutan dan ia berfungsi sebagai ejen pencarian pantas.

Contohnya, pengguna ingin membeli kasut secara online dan mengunakan enjin carian Google dengan menaip seperti ‘kasut’ dan Google akan memaparkan syarikat yang menjual kasut pada bahagian kanan paparannya dalam bentuk pengiklanan.

Ia memberi manfaat kepada peniaga untuk memasarkan produk mereka dengan pantas dan bukan saja difokuskan kepada pasaran tempatan, malah pengguna dari luar negara juga dapat melihat produk yang dipasarkan.

Pantas

Menerusi temu bual IT@Metro bersama Lings Service Network (LSN) Sdn Bhd, syarikat tempatan yang menjual mesin jahit dan peratan jahitan, mengakui bahawa pengiklanan secara online membolehkan syarikatnya lebih pantas memasarkan produk dan menjimatkan kos pemasaran.

Pada 2011, syarikat berkenaan hanya menyuntik RM10 ke atas plattform pengiklanan berkenaan dan dalam tempoh sehari, LSN menerima 200 pelawat di laman webnya dan ketika ini ia meningkat kepada 40,000 pelawat sebulan.

Pengurus Besarnya, Suppaiyah berkata, dengan kesan positif berkenaan ia menjadikan LSN mempercayai penggunaan pemasaran lebih berkesan pada masa ini, namun pemasaran menggunakan platform konvensional masih juga diteruskan antaranya menerusi akhbar atau risalah.

Beliau berkata, setakat tahun lalu, LSN berjaya menjual 200 hingga 300 mesin jahit pelbagai jenama dan nama syarikatnya juga tersenarai dalam tiga tertinggi di dalam enjin pencarian Google sekiranya pengguna menaip ‘mesin jahit’.

“Kesan pemasaran online sememangnya cukup baik kepada pemain industri kecil dan sederhana kerana ia membolehkan pengguna terus mendapat maklumat dengan hanya mengakses menerusi laman web di depan komputer atau telefon pintar.

“Tambahan, penggunaan Internet di Malaysia yang semakin meningkat membantu kami memasarkan produk dalam kalangan generasi muda yang mana bagi pasaran online syarikat menyasarkan pelanggan berusia 22 hingga 40 tahun,” katanya.

Suppaiyah berkata, tahun ini syarikatnya memperuntukkan RM30,000 hingga RM50,000 bagi tujuan pengiklanan online termasuk penggunaan sistem media sosial seperti Facebook.

Popular

Katanya, walaupun pemasaran online pada hari ini berkembang pesat, tetapi pembelian secara konvensional iaitu pelanggan melawat ke premis perniagaan masih kukuh dan popular berbanding cara terbaru berkenaan.

“Kami mendapati orang ramai masih ingin melihat sendiri produk yang ingin dibeli secara fizikal berbanding visual dan ini adalah cabaran kepada syarikat untuk meningkatkan kepercayaan mereka dalam urusan tempahan sehingga pernghantaran.

“Apa yang boleh kami lakukan ialah memberi penerangan sebaik mungkin kepada mereka menerusi maklum balas e-mel yang diterima dengan secepat mungkin dan membenarkan juga pembeli datang terus ke premis untuk melihat produk itu sendiri,”katanya.

Beliau berkata, walaupun keadaan cara pemasaran menggunakan platfrom online semakin popular, tetapi ramai peniaga yang gagal dalam perniagaan dalam jangka pendek berikutan gagal memberikan maklum balas ­kepada pelanggan dengan baik dan cepat.

Katanya, apabila sesuatu produk itu dipamerkan pada laman web, peniaga perlu bersedia untuk menyediakan maklumat kepada pengguna dengan cepat dan menyediakan tenaga kerja bagi tujuan itu.

“Kami menerima 30 hingga 40 pertanyaan menerusi e-mel dan ia perlu dijawab dalam tempoh 24 jam serta lengkap. Perkara ini penting bagi mengukuhkan kepercayaan pelanggan dan bersikap terbuka untuk menjawab sebarang pertanyaan.

“Jangan mengambil masa sehingga dua hingga tiga hari untuk menjawab pertanyaan kerana ia mengakibatkan pelanggan akan lari dan hilang kepercayaan,” katanya.

Pada tahun ini, LSN yang baru menyertai platform pengkilanan Google menerusi mobile menjang­kakan penjualan mesin jahitnya berkembang 10 hingga 15 peratus.

Sementara itu, baru-baru ini berlangsung permukiman Kominiti Ekonomi Asean (AEC) di Kota Bharu yang mana antara perkara yang dibincangkan di dalam Majlis Perniagaan ASEAN (ABAC) adalah candangan bagi mencapai usaha integrasi ekonomi rantau ini.

Antara yang dicadangkan adalah membabitkan e-dagang yang mempunyai potensi pertumbuhan sehingga sembilan kali ganda, ia perlu diberikan penekanan bagi meningkatkan keyakinan pengguna kepada sektor berkenaan.

Menerusi laporan ini menunjukkan bahawa pemasaran Internet yang boleh menggalakkan pertumbuhan e-dagang sudah menjadi isu membantu pertumbuhan persekitaran ekonomi sesebuah negara serta rantau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 12:24 PM