YASIR menunjukkan laman sesawang ciptaannya - Minisite Mudah.
YASIR menunjukkan laman sesawang ciptaannya - Minisite Mudah.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Usahawan Terbilang Enterprise menjadi syarikat Bumiputera pertama di negara ini yang membangun dan memperkenalkan Minisite Mudah (MSM) untuk pengusaha kecil dan sederhana (PKS) yang ingin menjual produk dalam talian.

Pengasasnya, Yasir Arafat Sepaat berkata, pihaknya mula membangunkan sistem pengurusan kandungan khas untuk web jualan pada 2011 dan MSM yang dibuat lebih mudah serta lengkap sesuai untuk perniagaan online yang tidak mempunyai banyak produk.

Katanya, buat masa ini MSM didatangkan dalam Bahasa Malaysia dan pihaknya akan menjadikan MSM dengan pilihan beberapa bahasa berikutan syarikat mempunyai perancangan untuk meluaskan MSM ke luar negara.

“Permintaan sudah ada di Singapura dan kami sasar MSM akan digunakan di sana separuh kedua tahun ini dan kami komited menampilkan sistem tempatan sendiri kerana kebanyakan di luar negara mereka mempunyai sistem yang canggih, tetapi menariknya MSM mudah dan tidak terlalu teknikal serta boleh dilakukan sendiri oleh PKS.

“Setakat ini, MSM mempunyai kira-kira 1,300 pelanggan dan kami menyasarkan akhir tahun ini jumlah itu bertambah kepada 5,000 PKS terutama disumbang oleh pengenalan MSM Edisi Responsif (MSMRE),” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, syarikat sedang membangunkan versi baru iaitu MSMRE yang lebih mesra tablet dan gajet mudah alih lain serta akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.

Harga pakej lengkap bagi MSM hanya RM297 dan PKS hanya perlu memasukkan maklumat produk mereka. Menariknya, MSM ini mempunyai ciri simpanan maklumat data pelanggan, urus surat jualan, pengurusan produk termasuk bagi harga, komisen ejen serta pembayaran yang menggunakan kad kredit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 9:19 AM