AFP

Rio de Janeiro: Selepas mencatat 52 kemenangan berturut-turut pada aksi gelanggang tanah liat sejak 12 tahun lalu, Rafael Nadal terpaksa merelakan rekodnya itu terkubur apabila ditewaskan pemain Itali Fabio Fognini sekali gus mengakibatkan pilihan utama itu tersingkir daripada Terbuka Rio, kelmarin.

Fognini yang tewas semua empat pertemuannya dengan juara grand slam 14 kali itu, menang 1-6, 6-2, 7-5 dan layak ke final bertemu pemain Sepanyol David Ferrer.

Ferrer yang juga pilihan kedua itu melangkah ke final selepas menang 7-5, 6-1 ke atas pemain Austria Andreas Haider-Maurer.

“Saya bermain baik di set pertama tapi taktikal yang saya digunakan tidak menjadi selain mula keletihan.

“Cuaca sangat panas dan saya letih lebih cepat berbanding biasa. Otot saya mula kejang dan ia bukanlah perkara biasa yang berlaku kepada saya,” kata bintang Sepanyol itu.

Nadal yang meninggalkan gelanggang pada jam 3.30 pagi selepas mengalahkan pemain Uruguay Pablo Cuevas di suku akhir, dilihat agak kaku dan rentak permainannya mula tidak teratur selepas dua jam.

“Saya bangga kerana menewaskan pemain terbaik dunia yang mempunyai rekod cemerlang di gelanggang ini. Ini kemenangan terbaik sepanjang karier saya,” kata Fognini yang menduduki ranking ke-28 dunia.

Nadal berang apabila dia terpaksa memulakan permainan agak lewat di suku akhir apabila semua empat perlawanan dilangsungkan di gelanggang tengah dengan setiap satu mengambil masa panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 6:58 AM