DJOKOVIC ramal berdepan cabaran getir Ferrer.
DJOKOVIC ramal berdepan cabaran getir Ferrer.
AFP

Rome: Pemain Serbia, Novak Djokovic semakin hampir untuk mempertahankan gelaran Terbuka Itali selepas juara tujuh kali, Rafael Nadal tumpas di saingan suku akhir di tangan pemain Switzerland Stan Wawrinka, semalam.

Djokovic yang menewaskan Nadal di final tahun lalu untuk menjulang gelaran ketiga di ibu negara Itali itu, menewaskan pemain Jepun, Kei Nishikori dalam saingan suku akhir yang berat sebelah sebelum berdepan David Ferrer di separuh akhir.

Dalam 19 pertemuan mereka sebelum ini, Djokovic menang 14 kali. Biarpun Ferrer menang tiga daripada lima pertemuan di gelanggang tanah liat, kemenangan terakhir ke atas pemain Serbia di gelanggang itu adalah pada Piala Davis 2009.

Djokovic menang dua pertemuan terakhir mereka di gelanggang tanah liat, termasuk di separuh akhir di Rome tahun lalu.

Biarpun mengakui dia masih belum mencapai prestasi sehebat ketika menewaskan Tomas Berdych di final Masters Monte Carlo bulan lalu, Djokovic memberi amaran kejutan pasti berlaku.

“Saya perlu bersikap jujur kerana saya tidak bermain di kejohanan ini sebaik di Monte Carlo. Saya masih belum mencapai tahap diingini,” kata Djokovic.

“Saya harap dapat bermain lebih baik, lebih konsisten, kurang melakukan kesilapan dalam perlawanan esok (hari ini). Ini kerana ada seorang lagi pakar gelanggang tanah liat, salah seorang pesaing terbaik dalam Jelajah, seseorang yang tidak akan memberikan saya kemenangan dengan mudah.

“Dia (Ferrer) akan membuat saya bekerja keras.”

Djokovic, bagaimanapun mendapat inspirasi daripada kekalahan Nadal di depan penonton yang memenuhi gelanggang utama yang turut dihadiri bintang dan produser Hollywood, Ben Stiller.

Wawrinka menewaskan Nadal hanya sekali dalam 13 pertemuan sebelum ini, iaitu ketika final Terbuka Australia 2014 di gelanggang sintetik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:04 AM