NADAL sasar ranking ketiga dunia.
NADAL sasar ranking ketiga dunia.
AFP

Buenos Aires: Rafael Nadal memenangi gelaran pertama dalam tempoh hampir sembilan bulan kelmarin dengan menewaskan Juan Monaco 6-4, 6-1 di final Terbuka Argentina.

Kemenangan itu kejayaan pertama Nadal sejak muncul juara Terbuka Perancis di Roland Garros, Jun tahun lalu. Terbuka Argentina piala ke-65 dimiliknya sepanjang kariernya.

Bintang Sepanyol itu yang bergelut dengan kecederaan tahun lalu selepas kejayaan di Roland Garros. tersingkir awal di Qatar selain kecundang di suku akhir Terbuka Australia, Januari lalu.

Kedudukannya di ranking dunia juga merosot di tangga keempat selepas ditewaskan pemain Itali Fabio Fognini di separuh akhir Rio de Janeiro minggu lalu, kali pertama menyaksikan dia gagal berada di kelompok tiga teratas sejak Ogos 2013.

Kemenangan kali ini pantas membuatkan Nadal kembali mengimpikan kedudukan di tangga ketiga dunia dan mengatasi pemain Britain Andy Murray.

“Saya mengharungi musim yang sukar - kecederaan dan kemalangan,” kata Nadal yang turut berdepan masalah pergelangan tangan serta apendiks tahun lalu.

“Permulaan tahun ini juga tidak menentu apabila tersingkir di peringkat awal kejohanan tapi perlahan-lahan saya mula mendapat rentak.”

Pemain kidal berusia 28 tahun itu mengambil masa sejam 26 minit untuk mengatasi lawan dari Monaco itu.

Begitupun, kedua-dua pemain perlu menunggu selama dua jam gara-gara hujan sebelum perlawanan selain penangguhan lanjutan selama 55 minit lagi ketika kedudukan terikat 1-1 apabila permukaan gelanggang semakin licin.

“Ia hari yang sukar kerana tidak siapa tahu apa yang bakal berlaku,” kata Nadal. “Saya gembira dapat menang di sini. Sejak hari pertama, saya berusaha menampilkan yang terbaik untuk menang di sini. Saya sangat gembira. Saya akan meninggalkan bumi Argentina dengan perasaan yang tidak boleh dilupakan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 7:28 AM