PIRLO bantu Juve raih 10 mata di depan Roma.
PIRLO bantu Juve raih 10 mata di depan Roma.

Milan: Pemain tengah Andrea Pirlo melakukan rembatan dari jarak 25 meter untuk membolehkan pendahulu Serie A, Juventus meraih kemenangan ke atas Atalanta, 2-1 biarpun dikejutkan dengan jaringan awal pasukan pelawat.

Pemain berusia 35 tahun itu mendapatkan bola di bahagian tengah dan dengan satu sentuhan, melakukan rembatan lencong yang kencang dan gagal diselamatkan Marco Sportiello di gawang Atalanta pada minit terakhir separuh masa pertama.

Juventus yang memburu gelaran keempat berturut-turut kini mendahului 10 mata di depan AS Roma yang berkunjung ke Verona malam ini.

“Penting untuk kami menang hari ini biarpun kami bermain dengan teruk,” kata Pirlo selepas pasukannya bangkit daripada keputusan seri 2-2 dengan Cesena.

“Kami mahu menyampaikan mesej kepada pasukan lain selepas apa yang kami anggap sebagai ujian getir di Cesena.”

Atalanta yang hanya menjaringkan 21 gol dalam 24 perlawanan dan tewas 1-4 kepada Inter Milan seminggu lalu, mendahului seawal minit ke 25 apabila tandukan Giulio Migliaccio melepasi gawang.

Bola melantun ke lengan Gianluigi Buffon tetapi sudah pun melepasi garisan.

Atlalanta yang menduduki tangga keempat terbawah, mendahului selama 14 minit sebelum Fernando Llorente berjaya merembat masuk selepas Sportiello menepis tandukan Leonardo Bonucci.

Pirlo kemudiannya meletakkan Juve di hadapan dengan jaringan ketiga musim ini ketika pasukannya mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri dalam semua kejohanan.

Juve mengumpul 57 mata daripada 24 perlawanan manakala Roma, 47 mata dan Napoli yang menanti kunjungan Sassuolo esok, di tangga ketiga dengan 42 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:24 AM