Milan: AS Roma menerima tamparan lagi dalam usaha merebut kejuaraan apabila mereka seri bagi aksi keenam dalam tujuh perlawanan Serie A, membantu Juventus berada sembilan mata di depan di puncak carta liga.

Kunjungan Roma ke Verona berakhir 1-1, sekalipun kapten Francesco Totti (gambar) membolehkan mereka mendahului pada babak pertama dengan gol ke-240 dalam liga.

Kelab bermasalah AC Milan kembali menemui rentak kemenangan apabila mengalahkan Cesena 2-0 di laman sendiri manakala Lazio melonjak ke tangga keempat berikutan gol kemenangan menakjubkan Antonio Candreva pada babak kedua sebelum menang 2-1 ke atas Palermo di gelanggang sendiri.

Massimo Maccarone menyumbat dua gol untuk membantu Empoli menang 3-0 ke atas Chievo manakala pertemuan Parma dan Udinese ditangguhkan ketika tuan rumah yang berdepan masalah kewangan dan di ambang muflis, tidak mempunyai wang untuk membayar marsyal stadium.

Pada perlawanan awal pagi semalam, pemain tengah pinjaman dari Chelsea, Mohamed Salah hadir dari bangku pemain simpanan untuk memberi gol pendahuluan Fiorentina pada minit ke-85 ke atas Torino namun pelawat membalas dua minit kemudiam apabila Giuseppe Vives menghukum kesilapan benteng untuk merembat melepasi Ciprian Tatarusanu dari sudut sukar.

Juara bertahan Juventus mendahului 10 mata ke atas Roma Jumaat lalu selepas kemenangan 2-1 mengatasi Atalanta melonjakkan semangat Bianconeri menjelang perlawanan pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Borussia Dortmund, awal pagi esok.

Ia menyebabkan Roma berdepan kesukaran berkunjung ke Stadium Bentegodi milik Verona dan sekalipun pelawat mempamerkan penguasaan, anak buah Rudi Garcia gagal mencari gol kemenangan.

“Kami mencipta peluang yang disia-siakan,” kata Garcia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 7:19 AM