CAICEDO (tengah) meraikan jaringan penyamaan pada masa kecederaan. FOTO AFP
CAICEDO (tengah) meraikan jaringan penyamaan pada masa kecederaan. FOTO AFP
AFP

Milan: Pemain Ecuador, Felipe Caicedo sekali lagi masuk sebagai pemain gantian untuk menyelamatkan Lazio apabila dia menjaringkan gol penyamaan di lewat permainan awal pagi tadi sekali gus memadam jaringan pembukaan Cristiano Ronaldo bagi mengikat Juventus 1-1.

Ronaldo membuka jaringan selepas 15 minit perlawanan berlangsung namun menyandang juara Serie A itu melepaskan peluang mencatat kemenangan apabila bintang Portugal itu mengalami kecederaan buku lali dan Caicedo meledakkan minit kelima masa kecederaan.

"Saya hilang kata-kata, jaringan seperti ini membuatkan saya tergamam," kata Caicedo, yang juga meledak jaringan ketika pertengahan minggu lalu dalam aksi Liga Juara-Juara berdepan Zenit Saint-Petersburg dan menjaringkan gol kemenangan apabila Lazio mengalahkan Torino 4-3.

Juve terlepas peluang untuk menduduki tempat kedua di belakang pendahulu Serie A, AC Milan.

Sementara itu, AS Roma menduduki tangga ketiga, satu mata mengatasi Juve yang menghuni tempat keempat, selepas Henrikh Mkhitaryan meledak hatrik untuk membantu pasukan ibu negara itu mencatat kemenangan 3-1 ke atas Genoa.

Inter Milan dan Atalanta juga kehilangan mata penuh selepas mencatat keputusan seri 1-1 di Bergamo apabila Aleksey Miranchuk meledak gol pertamanya di Serie A bagi memadamkan jaringan pendahuluan, Lautaro Martinez.

"Kami melalui perlawanan dengan baik, tidak ada sebarang petanda membahayakan. Bagaimanapun, kemenangan kami diragut dalam tempoh hanya beberapa saat untuk perlawanan ditamatkan," kata jurulatih Juve, Andrea Pirlo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 9:30 AM