PENYAKIT mengumpul sampah makin menular dalam kalangan rakyat Malaysia.
PENYAKIT mengumpul sampah makin menular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Johor Bahru: Penyakit hoarding disorder atau minat mengumpul objek antara kecelaruan berkait dengan kecelaruan obsesif-kompulsif (OCD).

Pakar Psikologi dan Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, kecelaruan mengumpul objek ini adalah kondisi apabila individu sukar membuang atau berpisah dengan objek dimiliki.

Menurutnya, kecelaruan turut membabitkan barangan tiada nilai sentimental atau maksud khusus 'istimewa' dalam hidup.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (Psima) berkata, barangan dikumpul termasuk surat khabar lama, buku lama, nota, majalah, pakaian, kelengkapan dapur lama, plastik dan sebagainya.

Menurutnya, masalah ini boleh berlaku apabila individu terbabit beranggapan barangan itu perlu disimpan kerana ia mungkin diperlukan di masa depan.

"Secara umumnya, hoarding ada beberapa tahap iaitu tahap sederhana ke tahap yang serius.

"Bagi kes hoarding tahap sederhana, ia mungkin tidak terlalu memberi kesan secara langsung. Namun jika pada tahap parah, ia akan mengganggu fungsi hidup seseorang.

"Kecelaruan ini dilihat boleh mengganggu kehidupan seharian berikutan objek atau barangan dikumpul terlalu banyak.

"Malah, barang yang begitu banyak terkumpul akan membawa kepada masalah kebersihan dan keselamatan," katanya.

Shazli Ezzat berkata, antara simptom hoarding adalah sukar buang barang walaupun tiada nilai penting, tertekan apabila cuba membuang barangan kerana persepsi individu itu (dia perlu simpan, takut-takut akan diperlukan nanti).

"Mereka juga tidak mampu menyusun dan menyimpan barangan dengan teratur," katanya.

Beliau berkata, simptom lain termasuk tidak dapat membuat keputusan apa yang perlu disimpan dan di mana perlu disimpan.

"Mereka ada pemikiran dan obses apabila melihat semula sampah dibuang dan risau terbuang barang yang ingin disimpan.

"Individu dengan kecelaruan ini tidak rasakan perkara ini satu masalah hingga mengakibatkan mereka sukar dirawat," katanya.

Menurutnya, rawatan intensif dapat membantu individu ini mengubah tingkah laku.

"Sehingga kini tidak jelas apa yang menyebabkan hoarding disorder namun faktor genetik, fungsi otak dan sejarah kehidupan tertekan sedang dikaji sebagai antara penyumbang.

"Ada banyak faktor risiko menyumbang hoarding termasuk soal personaliti iaitu ramai mempunyai hoarding disorder ada bawaan merangkumi ketidakmampuan membuat pilihan dan sering rasa keraguan di atas tingkah lakunya sendiri.

"Selain itu sejarah keluarga juga ada kaitan rapat iaitu mempunyai ahli keluarga yang memiliki hoarding disorder dan mengalami gangguan itu sendiri.

"Malah, peristiwa kehidupan menimbulkan tekanan boleh meningkatkan risiko hoarding termasuk kematian orang tersayang, perceraian, pengabaian atau hilang harta benda dalam kebakaran mahupun bencana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 8:00 AM