Bromolla, Sweden: Seorang wanita ditahan polis kerana disyaki mengurung tiga anaknya di dalam sebuah pangsapuri selama 10 tahun.

Wanita berusia 59 tahun itu ditahan selepas seorang daripada anaknya dapat melarikan diri dan merayu kepada jiran supaya menghubungi polis.

Apabila polis tiba, ketiga-tiga mangsa - berusia 32, 24 dan 23 tahun - memberitahu polis bahawa mereka dikurung di rumah berkenaan sejak 10 tahun lalu.

Jiran pula berkata, seorang daripada wanita malang terbabit dilihat hampir tidak boleh berjalan, dipercayai akibat terlalu lama dikurung.

Jurucakap polis, Ewa-Gun Westford berkata, seorang penduduk menghubungi pihak berkuasa pada petang kelmarin.

“Dia mengadu ada seseorang yang mengurung tiga anak mereka selama beberapa tahun.

“Wanita itu ditahan selepas ketiga-tiga mangsa berjaya diselamatkan,” katanya.

Berita mengenai penahanan wanita berkenaan mengejutkan penduduk di bandar kecil itu yang hanya mempunyai penduduk kurang 8,000 orang.

Seorang jiran memberitahu sebuah akhbar tempatan, bidai di tingkap pangsapuri wanita itu sentiasa ditutup dan mereka tidak mendengar sebarang bunyi bising dari rumah berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:05 AM