Oleh Mohd Sabran Md Sani


Anda tidak perlu menjadi pakar tanaman untuk memiliki taman yang unik.

Dengan bermodalkan masa dan daya kreativiti, impian memiliki taman mini ini dapat direalisasikan.

Bukan saja cantik dipandang, tetapi modal yang dilaburkan rendah.

Jika mahu kelihatan menarik, bahan terbuang itu boleh digunakan mengikut cita rasa.

Pusat Teknologi Florikultur dan Herba (PTFH), Kompleks Pertanian Serdang, Selangor, mempunyai cara mempelbagaikan kegunaan bahan terbuang.

Mereka berkongsi tip menghasilkan medium tanaman daripada barangan terpakai seperti botol mineral dan bekas makanan bertih jagung.

Ia dikongsikan Penolong Pengarah Seksyen Florikultur Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur, Pusat Pembangunan Komoditi, Jabatan Pertanian Serdang, Muhamad Adli Salihin Samsudin.

Beliau berkata, barangan terbuang dapat menghasil–kan seni taman yang kreatif selain menjimatkan dan praktikal.

“Dengan tempoh tidak sampai lima minit, anda dapat menghasilkan medium tanaman daripada botol terbuang.

“Untuk kelihatan cantik, anda boleh mengecat medium itu mengikut kehendak dan kesesuaian,” kata–nya.

Menerusi konsep edibel lanskap katanya pelbagai jenis tanaman boleh dibangunkan malah 70 peratus boleh dimakan manakala bakinya untuk tanaman hiasan.

“Di samping untuk keceriaan, gabungan elemen ‘landskap kejur’ memberi penataan ceria seperti air pancut, kerusi taman, pergola dan gazebo,” katanya.

Secara amali katanya, botol plastik mineral atau minyak masak dengan isipadu lima liter ditebuk di bahagian tepi.

“Bahagian tepi botol ditandakan sebelum dipotong menggunakan gunting.

“Selanjutnya, bahagian bertentangan botol dilubangkan,” katanya.

Menurutnya, pembentukkan lubang pada dasar botol penting bagi memudahkan pengaliran air.

“Ia mengelak air daripada bertakung dan mengelakan akar rosak atau ditumbuhi kulat,” katanya.

Katanya, sudip tangan, pencakar dan pisau antara alatan diperlukan untuk menanam.

“Bahan asas pokok dimasukkan ke pasu plastik bersama tanah campuran.

“Pelbagai jenis tanaman boleh ditanam seperti misai kucing, daun kesum, pudina, cili api, bendi dan pandan wangi,” katanya.

Kaedah tanaman menggunakan barangan terpakai bukan saja menggalakkan konsep edibel landskap, tetapi dijadikan elemen tanaman hiasan.

“Ia menggalakan orang ramai terutama golongan muda bercucuk tanam dengan kos murah serta dapat menjimatkan belanja selain memelihara alam sekitar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 12:43 PM