ALI disambut penduduk sebaik tiba di Teluk Air Tawar, semalam.
ALI disambut penduduk sebaik tiba di Teluk Air Tawar, semalam.
Zulfa Mohamad

Butterworth: Berbekalkan sebungkus kurma dan beberapa bungkus mi segera, seorang mekanik menjelajah Semenanjung secara solo menggunakan basikal baring (recumbent trike) yang dihasilkannya sendiri menggunakan bahan terbuang.

Ali Ahmad, 42, dari Temerloh, Pahang, sebelum ini bekerja dengan syarikat penyelenggaraan di bangunan KLCC dan memulakan kayuhan dari Kuala Lumpur pada 4 April lalu sebelum ke Kapar serta Teluk Intan, Perak dan meneruskan kayuhan ke Teluk Air Tawar, dekat sini, semalam.

Menurutnya, basikal yang digunakan itu dihasilkan daripada bahan terbuang termasuk besi buruk, lampu suluh dan botol minuman bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya konsep ‘3R’ (reduce, reuse, recycle).

“Saya bukan kayuh untuk suka-suka, tetapi mahu menyampaikan mesej kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar sempena sambutan Hari Bumi, 24 April ini.

“Sebab itu, basikal baring yang saya tunggang ini dibuat sendiri menggunakan bahan terbuang dan kebanyakannya diperoleh dari kedai barang lusuh,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Selepas berehat di Teluk Air Tawar, dia meneruskan kayuhan ke Yan, Kedah diikuti Grik, Perak sebelum memasuki pantai timur dan perjalanannya mengelilingi Semenanjung dijangka mengambil masa 44 hari.

Bagi mengekalkan tenaga sepanjang perjalanan itu, dia hanya menjamah kurma selain membawa dapur kecil untuk memasak mi segera.

Duda anak dua itu mendakwa mampu mengayuh sejauh 70 kilometer (km) sehari dan berhenti berehat setiap 15km, selain menjadikan masjid serta surau sebagai tempat tidur.

Dia tidak menjalani latihan sebelum memulakan kayuhan solo itu kecuali pengalaman mengayuh dari Ampang, Selangor ke Melaka pada dua bulan lalu yang mengambil masa lima hari.

“Memang ada pelancong asing menunggang basikal baring untuk melihat keindahan negara ini, tetapi basikal saya dibuat sendiri menggunakan bahan terbuang.

“Ia turut dilengkapi kotak di bahagian belakang untuk membawa barangan menyebabkan basikal ciptaan saya lebih berat,” katanya.

Ali yang hanya bergantung pada sumbangan seorang rakan berikutan tiada penaja berharap misinya menyampaikan mesej ‘cinta alam’ sampai kepada setiap lapisan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 7:14 AM