PESERTA mendengar penerangan daripada pegawai terlatih.
PESERTA mendengar penerangan daripada pegawai terlatih.
PESERTA memasukkan medium tanah ke dalam beg semaian.
PESERTA memasukkan medium tanah ke dalam beg semaian.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Seramai 35 peserta membabitkan pegawai dan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara menyertai ‘Kursus Master Gardener Modul 1 : Penanaman dan Penyelenggaraan Pokok Ameniti’, baru-baru ini.

Kursus itu anjuran Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (IKPKT) di Pusat Teknologi Florikultur dan Herba (PTFH), Kompleks Pertanian Serdang, Selangor.

Penolong Pengarah, Seksyen Florikultur, Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur, Pusat Pembangunan Komoditi, Kompleks Jabatan Pertanian Serdang, Muhamad Adli Salihin Samsudin, berkata kursus tiga hari itu diadakan secara komprehensif dan ‘hands-on’.

“Peserta mengikuti modul teori selama dua hari di IKPKT di Bukit Tinggi, Pahang dan sehari praktikal mengenai kaedah pembiakan, penanaman dan penjagaan tanaman hiasan.

“Mereka diberi tunjuk ajar secara komprehensif dan ‘hands-on’ daripada pegawai dan kakitangan PTFH yang terlatih dalam bidang tanaman hiasan dan herba ini,” katanya.

Antara latihan yang diberikan kepada peserta kursus ini adalah teknik pembiakan, penanaman dan penjagaan bagi tanaman hiasan, tanaman Orkid dan tanaman herba.

Kursus itu diketuai Ketua Pusat Pengajian Pengurusan Landskap, Landskap Arkitek (LAr) Nor Azah Abdul Aziz.

Bagi mengelak peserta bosan, penganjur turut mengadakan sesi ‘tour’ di sekitar pusat itu yang menjadi Pusat Kecemerlangan bagi Seksyen Florikultur dan Tanaman Industri, Jabatan Pertanian.

Aktiviti ini sebahagian proses pembelajaran kepada peserta kursus ini.

Muhamad Adli Salihin berkata, pusat seluas tiga hektar itu menempatkan tujuh taman iaitu Taman Wangian, Tapiori, Koleksi Orkid, Orkid, Orkid Teresterial, Apiari, Koleksi Pokok Hiasan dan Koleksi Herba.

“Taman ini dilengkapi pelbagai kemudahan tambahan seperti gazebo, buaian, bangku taman, jambatan, pergola dan arca unik dari pasu terbuang.

“Bagi peserta kursus kami mempunyai bilik taklimat, surau, tandas, tempat rehat dan ruang selesa untuk aktiviti praktikal,” katanya.

Menurutnya, ramai memilih lokasi itu sebagai konsep ‘Perkahwinan Dalam Taman’.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:00 AM