Oleh Betty Subaryati


Dipandang pada pekerjaan, tidak siapa menduga Tuan Azman Tuan Yaacob, 29, adalah lulusan universiti tempatan.

Bagi kebanyakan orang, memiliki ijazah mungkin tiket terbaik mendapat kerjaya idaman.

Namun, bagi lulusan Program Pembangunan Sumber Manusia Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ini, tekad menjadi usahawan sentiasa terpahat dalam diari kehidupannya.

Di saat rakan sekampus mencari peluang pekerjaan, dia nekad menjadi 'penjaja' produk sejuk beku.

Hampir setahun Tuan Azman 'menjaja' makanan sejuk beku di sekitar daerah Tumpat.

Jiwanya cukup kental kerana sanggup menjaja karipap dan mini popia keluaran pengusaha makanan di daerah itu.

Dia turut men­jual kepada peruncit, gerai terbuka dan ekspo usahawan anjuran kerajaan negeri.

Laluan sukar itu membangkitkan semangat menjadi usahawan disegani. Daripada seorang penjaja, dia bangkit membangunkan produk sendiri.

Tuan Azman bernasib baik kerana mendapat sokongan padu ayahnya, Tuan Yaacob Tuan Ismail, 63, yang memberikan modal berjumlah RM200,000.

"Modal ini memboleh­kan saya mengusahakan industri makanan sejuk beku dan membuka kilang dengan mengeluarkan produk karipap dan mini popia," katanya yang juga anak nelayan laut dalam.

Dia juga memohon kursus anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan.

"Saya belajar banyak perkara termasuk proses penghasilan sambal ikan sebagai inti popia dan karipap mini.

"FAMA turut memberikan khidmat nasihat dan kepakaran dalam bidang pemasaran," katanya.

Tuan Azman juga dipantau Ketua Unit Industri Asas Tani (UIAT) FAMA Kelantan, Nuriha Yusof; Pembantu Hal Ehwal Ekonomi dan Pembantu Tadbir UIAT FAMA Kelantan, Maheran Ahmad dan Pembantu Hal Ehwal Ekonomi UIAT FAMA Kelantan, Zuhari Mohamad.

Dia juga berstatus usahawan bimbingan FAMA Kelantan, selain pernah menerima Anugerah Usahawan Agropreneur Muda dengan memperoleh pendapatan lebih RM20,000 sebulan.

Anugerah itu disampaikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Bahagian Unit Industri Asas Tani turut memberi peluang kepada Tuan ­Azman mengikuti pelbagai kursus dan ekspo.

"Kini, selepas menyertai usahawan agropreneur FAMA, saya menyertai beberapa ekspo anjuran Kerajaan Pusat," katanya yang turut dibantu ibu, Zubaidah Yusof, 58.

FAMA Kelantan terus menyokong perniagaan­nya yang memasarkan dua produk utama, karipap dan mini popia serunding di Pengkalan Kubor.

"Kini saya sedang menunggu kelulusan geran daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bernilai kira-kira RM80,000.

"Ia bagi membesarkan kilang dan memastikan pasaran karipap dan mini popia serunding keluaran Layaran Fishery Trading mampu menembusi pasar raya seluruh negara," katanya.

Sementara itu, Nuriha berkata, FAMA sedang berusaha membantu permohonan dikemukakan Tuan Azman sebagai usahawan tani muda yang berpotensi untuk diketengahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:00 AM