FATIHAH memantau produk perata.
FATIHAH memantau produk perata.
FATIHAH bersama produk sejuk beku.
FATIHAH bersama produk sejuk beku.
PIZA yang menjimatkan menggunakan asas perata.
PIZA yang menjimatkan menggunakan asas perata.
MENU berkhasiat
MENU berkhasiat
RESEPI olahan Fatihah menggunakan roti perata.
RESEPI olahan Fatihah menggunakan roti perata.
Oleh Mohd Sabran Md Sani

Andai tidak diberitahu, mungkin penulis menyangka ia produk piza kerana hiasan ditampilkan menyamai makanan tradisional Itali.

Hidangan pertama dihiasi tuna (sardin), telur, salad, capsicum, sos dan keju.

Sajian kedua disaji menggunakan hirisan sosej, keju, mayonis, capsicum dan salad.

Penulis teruja kerana bahan asas piza bukan roti asli sebaliknya diolah daripada perata.

Perata amat baik untuk kesihatan kerana tidak menggunakan minyak.

Bagi kebanyakan pengusaha produk industri kecil dan sederhana (IKS), jarang sekali mereka memikirkan soal menu.

Berbanding pemilik Fatihah Frozen Food Sdn Bhd, Fatihah Anis Ibrahim, 53, dia kreatif mencipta resepi istimewa.

Itulah 'formula Fatihah' untuk memastikan produk makanan sejuk bekunya menepati cita rasa pelanggan.

Dia melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri.

Di pasaran terdapat dua jenis perata dikeluarkan syarikat itu seperti 'Paratha Asli' dan 'Paratha Durian' malah tiga lagi roti perata menunggu giliran untuk diketengahkan.

Mengintai sejarah syarikat itu yang berusia 32 tahun, anak jati Kelantan itu sudah merasai jatuh bangun dalam perniagaan.

Krisis ekonomi berlaku sekitar 1997 dan perpisahan dengan bekas suami memberi tamparan hebat dalam hidupnya.

Kebergantungan kepada permintaan pasaran Brunei ketika itu turut memberi kesan kepada perniagaannya.

Dalam sekelip mata, jualannya merosot akibat tiada permintaan dan terpaksa 'gulung tikar'.

Jika diingat kembali memang menyedihkan, namun memikirkan masa depan anak, semua itu diketepikan.

Ada masanya dia buntu meneruskan kehidupan, sedangkan hutang yang dipinjam perlu dilunaskan.

Pernah suatu masa dia 'pokai' hingga terpaksa menyusur laci almari untuk mencari duit syiling.

Duit itu diperlukan untuk perbelanjaan persekolahan tiga anaknya yang masih kecil.

Sudahlah tiada duit, salah sebuah mesin dibeli ketika itu ditarik bank akibat kegagalannya melunaskan hutang.

Fatihah berkata, dia agak kecewa kerana bisnes dibangunkan dengan modal RM50 itu gagal.

"Saya bersyukur dalam saat-saat buntu itu, Allah beri rezeki untuk saya mengusahakan perniagaan katering.

"Dari situ saya mengumpul modal untuk bangunkan semula syarikat," katanya.

Katanya, dengan bantuan MARA, dia bangkit kembali dengan mengusahakan produk sejuk beku di Kompleks Industri Makanan MARA (KIMAR), Jalan Batu Caves, empat tahun lalu.

"Sepanjang tempoh itu, saya tidak duduk saja, sebaliknya melakukan R&D terhadap produk sejuk beku.

"Saya meningkatkan pengeluaran menggunakan mesin," katanya setiap sejam kira-kira 3,000 roti perata dapat dihasilkan," katanya.

Kini syarikat itu mengeluarkan lebih 20 jenis produk makanan sejuk beku untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Dengan bantuan pinjaman MARA, Fatihah menyusun strategi untuk mempertingkatkan kualiti produknya.

Antara produk itu ialah karipap, popia, samosa, roti boom, cakoi, ais krim goreng, murtabak mini dan sardin gulung.

Fatihah juga menerima pinjaman dan geran tambahan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan MARA.

Syarikat itu menerima sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

MARDI, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan SIRIM turut membantu.

FAMA membawa syarikat itu ke ekspo luar negara termasuk Agrobazaar Malaysia di Singapura.

"Usaha ini sekali gus dapat membantu usahawan tani tempatan memasarkan produk pertanian mereka.

"Saya menggunakan lima tan sengkuang dan keledek sebulan, selain lobak, durian dan bawang," katanya.

Jenama tempatan itu dieksport ke beberapa negara lain seperti Brunei, China dan Dubai.

Terkini Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mempelawa syarikat itu mengikuti 'Programme Go-Ex'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:06 AM