KHAIRY  berucap ketika menghadiri program anjuran MTEM dan MARA di Pusat Konvensyen Sime Darby.
KHAIRY berucap ketika menghadiri program anjuran MTEM dan MARA di Pusat Konvensyen Sime Darby.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Usahawan Bumiputera khususnya dalam kalangan belia perlu mengambil kesempatan atas peluang penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang akan berlangsung pada tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan akan bertindak sebagai pemudah cara untuk membantu mana-mana usahawan yang berhasrat meluaskan perniagaan mereka ke pasaran ASEAN.

“Kita mahu lebih banyak syarikat milik Bumiputera khususnya yang diterajui golongan belia dapat menyertai AEC dengan memilih ASEAN sebagai pasaran baru.

“Ia bukan perkara mudah, namun kerajaan bersedia membantu usahawan yang mahu mengorak langkah meluaskan perniagaan mereka di luar Malaysia,” katanya selepas majlis anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) - Majlis Amanah Rakyat (MARA) di sini, semalam.

Menurutnya, selain mendapat bantuan kerajaan, usahawan bagaimanapun perlu lebih realistik dan mempunyai sifat mahu bersaing memandangkan pasaran Asean bukan lagi sama sebagaimana pasaran tempatan.

“Di ASEAN, Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak lagi boleh diguna pakai dan usahawan perlu bersaing secara agresif memandangkan ia adalah pasaran terbuka.

“Malah, kerajaan juga tidak selamanya boleh memberi bantuan kepada syarikat ini dan mereka perlu mencari jalan untuk memajukan perniagaan masing-masing,” katanya.

Khairy berkata, pasaran ASEAN dijangka menjadi cabaran baru kepada usahawan muda kerana ia boleh dianggap sebagai pasaran percubaan.

“Pasaran ASEAN boleh dilihat sebagai cabaran baru untuk usahawan muda dan menjadi medan percubaan untuk melihat sejauh mana mereka boleh bersaing.

“Namun, untuk menembusi pasaran ini, mereka perlu memahami apa itu AEC dan mendapat maklumat sewajarnya bagi menilai risiko yang mungkin ditanggung,” katanya.

Khairy berkata, kelebihan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini memberi kelebihan untuk usahawan Bumiputera terutama dengan komitmen kerajaan untuk membantu usahawan kecil dan sederhana (PKS).

“Manfaat terbesar AEC kepada Malaysia membabitkan pasaran 20 kali ganda daripada pasaran domestik. Sebagai satu pasaran juga, ASEAN mempunyai pelbagai kekuatan daripada pengeluar terbesar dunia minyak sawit, getah, sukuk, malah mempunyai penduduk Islam terbesar dunia,” katanya.

Malah, menurutnya potensi usahawan Malaysia terbukti, terutama dalam bidang seperti perbankan, minyak dan gas, penerbangan, perkhidmatan dengan nama seperti CIMB dan AirAsia cukup sinonim dengan ASEAN.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 7:33 AM