Tangkak: Malaysia dijangka mampu menarik kira-kira 10 peratus atau RM200 bilion daripada nilai keseluruhan pelaburan di negara ASEAN dengan pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada tahun depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ir Hamim Samuri berkata, ini akan menjadi satu trend positif yang berterusan kepada negara.

“Dengan pelaksanaan AEC yang dipersetujui pada 2007 itu juga, Malaysia akan menikmati pasaran seramai 620 juta penduduk di negara ASEAN bagi pelbagai jenis produk yang dihasilkannya,” katanya selepas Majlis Penyampaian Persijilan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S yang dianjurkan Perbadanan Produktiviti Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, di bawah AEC kemudahan eksport dan import diseragamkan dengan sistem percukaian dipermudahkan bagi membolehkan dagangan dijalankan dalam kalangan negara ASEAN.

Justeru, katanya, pelbagai agensi kerajaan serta pihak swasta di negara ini perlu meningkatkan daya saing agar mampu menarik pelabur.

Beliau berkata, ini dapat dicapai melalui Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S dalam kalangan jabatan dan agensi kerajaan serta pihak swasta.

“Dengan kecekapan yang terbina melalui amalan ini akan mewujudkan suasana yang positif di organisasi masing-masing sehingga membawa kepada situasi menang-menang yang boleh menambat hati pelabur kelak,” katanya. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:16 AM