Bangkok: Samsung Electronics Co Ltd (Samsung) terus memperkenalkan produk konsumer berteknologi pintar yang menggunakan jaringan Internet, Internet Untuk Segalanya (IoT) dalam usaha memperkukuhkan kedudukannya di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia berikutan rantau berkenaan mempunyai potensi besar dalam pasaran pada masa depan.

Menerusi Samsung Forum 2015, Samsung memperkenalkan pelbagai segmen produk konsumer pintar IoT antaranya televisyen, mesin basuh, peti sejuk, pendingin hawa, sistem audio, telefon pintar dan alat pencetak yang bakal dipasarkan sepanjang tahun ini.

Pengurus Inovasi Asia Tenggara dan Ocenia Samsung, Adam Wishney berkata, inovasi reka bentuk terkini mengikut keperluan pengguna menjadikan produk pintar menjadi tarikan kepada pengguna selain daripada fungsinya dan perkembangan ini memberi kesan kepada rantau Asia Tenggara.

Beliau berkata, produk yang bersifat interaksi juga menjadi perkembangan terkini dalam membangunkan produk kerana ia penting bagi memudahkan pengguna dan ia bukan tertumpu kepada produk seperti televisyen saja tetapi diperluaskan kepada penggunaan mesin basuh.

“Memahami kehendak pelanggan dan perubahan gaya hidup adalah penting bagi membolehkan produk diterima oleh pasaran serta pembangunan sistem Internet pada hari ini telah dikaitkan dengan produk keperluan manusia seperti mesin basuh, televisyen dan pendingin hawa yang boleh dikawal dari jarak jauh.

“Dari segi penerimaan produk mengikut rantau sebenarnya tidak ketara antara Asia Tenggara dengan yang lain kerana Samsung membangunkan produk mengikut kehendak manusia terkini tanpa mengikut pecahan rantau apabila Asia Tenggara juga adalah salah satu lokasi yang menyokong pasaran kami,” katanya kepada Bisnes Metro selepas Samsung Forum 2015 di sini, semalam.

Samsung Forum 2015 adalah acara tahunan yang dianjurkan bagi memperkenalkan barisan produk yang bakal dipasarkan sepanjang tahun ini kepada media antarabangsa serta rakan niaganya. Ia diadakan di Bangkok, Thailand pada 11 dan 14 Februari 2015.

Antara produk menarik diperkenalkan tahun ini termasuk televisyen Samsung SUHDTV 4K, telefon pintar Samsung Galaxy Series 7, mesin basuh WA6700 Activ Dualwash, peti sejuk Chef Collector, kamera Samsung NX500 dan vakum pembersih Samsung Powerbot.

Samsung Forum 2015 memfokuskan kepada produk yang boleh dihubungkan menerusi jaringan Internet serta tidak tertumpu kepada keperluan konsumer di rumah saja malah meliputi produk pejabat terutama mesin pencetak menerusi pengenalan Samsung Smart Multi Xpress yang disasarkan kepada pasaran enterpris.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 9:39 AM