SAMSUNG SEA Forum 2017 berlangsung di Singapura.
SAMSUNG SEA Forum 2017 berlangsung di Singapura.
JURUTERA Samsung Martin Kim menunjukkan ujian warna pada TV QLED.
JURUTERA Samsung Martin Kim menunjukkan ujian warna pada TV QLED.
FLEXWASH mempunyai dua slot basuhan.
FLEXWASH mempunyai dua slot basuhan.
WARNA pada TV QLED cantik.
WARNA pada TV QLED cantik.
EVOLUSI vakum POWERbot.
EVOLUSI vakum POWERbot.
ELAINE menunjukkan peti ais Samsung Family Hub 2.0.
ELAINE menunjukkan peti ais Samsung Family Hub 2.0.
ELAINE memberi penerangan mengenai Samsung.
ELAINE memberi penerangan mengenai Samsung.
PENGURUS Samsung Stanley Chan memberi penerangan mengenai TV QLED.
PENGURUS Samsung Stanley Chan memberi penerangan mengenai TV QLED.
Afiq Hanif

Evolusi perkakasan rumah jelas menjadi pilihan syarikat terkemuka, Samsung Electronics Co (Samsung) ketika Forum Asia Tenggara Samsung atau dikenali sebagai Samsung SEA Forum 2017 yang berlangsung di Singapura, baru-baru ini.

Mencuri tumpuan, pengenalan TV QLED yang menyaksikan teknologi quantum dots dalam pencahayaan televisyen dan secara teknikalnya mengandungi dua bahagian teknologi.

Pertama, ia menggunakan generasi kedua quantum dots dengan konsep dot dua-kepada-sepuluh nanometer yang menghasilkan imej RGB iaitu merah, hijau dan biru kebiasaannya mungkin nampak biasa pada televisyen konvensional.

Kedua, kawalan pencahayaan QLED membenarkan TV menghasilkan tahap kecerahan 2000 nits tanpa menjejaskan warna asal (sebelum ini tahap kecerahan pada 1500 nits saja).

Dua bahagian teknologi terbabit menghasilkan warna sebenar dan bahasa mudahnya jika anda melihat dengan mata kasar binatang dalam zoo, warna suasana terbabit akan dipancarkan sama di depan televisyen.

QLED masih sebahagian teknologi LCD menggunakan panel jenis Vertical Alignment dan pencahayaan belakang bayang dari bucu atas bawah skrin. Bantuan quantum dots banyak membantu menghasilkan partikel kecil yang memberi impak kepada visual terpampang di kaca TV.

Saya sendiri melihat paparan QLED sebagai masa depan yang baik dengan memiliki warna hitam, gamut, saturasi, sudut menonton dari pelbagai arah dan definisi HDR yang padu.

Lebih menarik, TV ini mempunyai ekosistem menawan. Misalnya, anda memerlukan hanya satu kabel di belakang yang kecil jadi ketika menggantungnya di dinding tidak kelihatan dua tiga kabel lain yang mencacatkan penglihatan.

Port terbabit dipindahkan ke bawah yang kemudiannya boleh disambungkan misalnya ke kabel Astro, pemain media dan sebagainya.

Satu kabel pada TV QLED juga datang dengan sistem satu alat kawalan jauh yang mengelakkan pengguna kehilangan beberapa alat kawalan yang biasa berlaku.

Kemudian, ia juga membolehkan ‘zero-gap’ atau TV dilekat terus ke dinding tanpa memperlihatkan ruang antara TV dan dinding.

Malah dengan penggunaan Internet, penawaran kandungan televisyen juga terus berubah kerana peng­guna kini tidak lagi terikat dengan rancangan yang disiarkan pengendali stesen televisyen, sebaliknya boleh menonton apa saja ranca­ngan yang diinginkan de­ngan sambungan Internet.

Bagi TV QLED, Samsung memperkenalkan beberapa siri QLED seperti:

• Premium UHD (4K) HDR1000 (4K) (MU8000/9000) pada saiz 49, 55, 65 dan 75 inci;

• UHD (4K) HDR (MU6100/6300/6400/6500) pada saiz 40, 43, 49, 55, 65 dan 75 inci; dan

• FHD (HD 1080p) (M5100/5500/6300) pada saiz 32, 40, 43, 49, 55 inci

Namun, tidak semua model ini memasuki pasaran Malaysia.

Samsung bakal membawa masuk perkakasan rumah berteknologi tinggi ke pasaran Asia Tenggara termasuk televisyen, mesin basuh, peti sejuk, pendingin hawa dan vakum.

Hampir semua produk terbabit akan dibawa masuk ke Malaysia dalam tempoh empat bulan ini.

Tiga produk mencuri tumpuan termasuk TV jenis QLED, mesin basuh FlexWash dan peti sejuk Family Hub.

Ketua Pegawai Pemasaran Samsung Malaysia Electronics, Elaine Soh berkata, syarikatnya menampilkan banyak teknologi baru dan ia bakal menemui pengguna satu persatu sebelum separuh pertama 2017.

“Saya boleh sahkan TV QLED yang menawan dengan paparan cantik dan berkualiti tinggi akan tiba di Malaysia diikuti produk lain,” katanya ketika ditemui IT@Meyto selepas pembentangan produk perkakasan rumah Samsung.

TV QLED membolehkan pengguna memperoleh visual lebih jelas serta tahap kecerahan yang menyamai suasana sebenar di samping lengkap sambungan Smart Hub boleh dihubungkan melalui aplikasi telefon pintar.

Sementara itu, tumpuan penulis menjurus kepada mesin basuh FlexWash yang diperkenalkan Samsung yang memudahkan kehidupan terutama kepada individu di bandar semakin sibuk dan tinggal di rumah yang mempunyai ruang terhad.

Jika sebelum ini, mencuci pakaian biasanya membabitkan aktiviti membasuh dan menyidai pakaian di ampaian serta menunggunya kering dalam tempoh beberapa ketika (itupun jika cuaca panas terik), kini ia berubah dengan FlexWash.

Teknologi terbaru Samsung terbabit mempunyai dua slot basuhan dan pengering yang membuatkan aktiviti membasuh kini pantas.

Anda hanya perlu masukkan pakaian dalam dram berkapasiti 21 kilogram di depan atau 3.5 kilogram di atas kemudian mengeringkannya pada masa yang sama.

Pengenalan teknologi rekaan juga membolehkan Samsung mencipta satu ruang khas di depan yang dinamakan AddWash bermakna jika anda lupa memasukkan sehelai dua pakaian ketika aktiviti membasuh sedang berjalan boleh melakukannya dengan hanya membuka slot terbabit tanpa menjejaskan cucian sedia ada.

Selain tidak menghentikan aktiviti basuhan sedia ada, teknologi membasuh Samsung membenarkan pakaian dibersihkan sama seperti basuhan awal tadi dengan teknologi dinamakan Samsung AirWash.

Teknologi sama juga membolehkan mesin basuh memghasilkan buih cucian 40 kali lebih efektif bagi cucian bersih dan ia juga tidak berbunyi kuat.

Fungsi Internet untuk segalanya (IoT) turut dipasang bersama mesin basuh ini bermakna anda boleh menetapkan masa basuhan, memulakan basuhan dan ciri lain hanya dengan menyentuh aplikasi dalam telefon pintar.

Bagaimanapun, FlexWash tidak akan dijual di Malaysia dalam masa terdekat dan kemungkinan hanya akan ditawarkan selepas Jun nanti.

Samsung turut memperkenalkan peti sejuk pintar Samsung Family Hub menampilkan paparan skrin di depan yang disambung ke Internet membolehkan mesin itu memaklumkan kepada pemilik sekiranya bahan disimpan dalam peti habis dan perlu ditambah.

Selain itu, Samsung turut memperkenalkan pendingin hawa AR9500 yang tidak mengeluarkan angin ketika beroperasi dan vakum robot Powerbot terbaru VR7000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 11:04 AM