SHAMYL (tiga dari kiri) bersama barisan pelakon Rembat.
SHAMYL (tiga dari kiri) bersama barisan pelakon Rembat.
Oleh Michelle Gun


Bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan patriotisme, tiga produksi terkemuka tanah air menghasilkan filem diberi judul Rembat bagi mendidik masyarakat mengenai nilai itu.

Mengisahkan dua sahabat berlainan bangsa, filem itu contoh terbaik memaparkan keunikan budaya setiap kaum di Malaysia yang hidup dalam harmoni.

Rembat yang dibintangi Shaheizy Sam, Zizan Razak, Zara Zya, Arja Lee, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz dihasilkan dengan kerjasama Grand Brilliance, Red Films dan Marna Films.

Ia akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 8 Oktober ini.

Bukan sekadar mengisahkan persahabatan, filem arahan Shamyl Othman ini turut membabitkan mengenai bola sepak negara selain menyelitkan babak melucukan yang pasti mencuit hati penonton.

Kehadiran penyanyi dan pelakon Cina terkenal, Aniu yang memegang watak utama sebagai Chin Chye menghangatkan lagi jalan cerita filem Rembat.

Shamyl ketika ditemui pada tayangan perdana Rembat baru-baru ini berkata, bola sepak diselitkan dalam filem itu kerana adalah sukan kegemaraan rakyat negara ini.

“Bagaimanapun, sukan itu tiada kaitan dengan mesej yang hendak disampaikan dalam filem ini dan hanya sekadar ‘back­drop’.

“Memang pada asalnya jalan cerita filem ini mengenai bola sepak, namun apabila diteliti semula, kami mendapati ada kekurangan sesuatu yang penting.

“Tambahan pula watak utama filem ini dibintangi dua pelakon berlainan bangsa, jadi skrip diubah semula,” katanya.

Mengenai cabaran mengarahkan filem itu yang dilakukan dua tahun lalu, Shamyl berkata, kru berdepan sedikit masalah kerana ketika penggambaran, negara dilanda jerebu.

“Kami mahu melakukan penggambaran luar untuk beberapa babak, namun cuaca jerebu dan perlu memakai topeng. Pembikinan filem ini tidak sukar dan barisan pelakon pula tiada masalah berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan Inggeris,” katanya.

Menurutnya, penggambaran filem itu memakan masa 26 hari untuk disiapkan dan dilakukan di beberapa lokasi antaranya Kuantan dan Johor Bahru.

“Filem ini perlu menjadi kebangaan rakyat negara ini kerana pelakonnya berbilang kaum selain menerapkan semangat cinta kepada negara,” katanya.

Aniu teruja berlakon dengan Sam

Berkongsi pengalaman pertamanya berlakon dalam filem Melayu, Aniu atau nama sebenarnya Tan Kheng Seong berkata, dia menerima tawaran untuk berlakon filem ini kerana tertarik dengan konsep karyanya.

“Pembabitan pelakon berbilang kaum daripada latar belakang berbeza berjaya menarik perhatian saya.

“Tambahan pula, saya juga peminat bola sepak kerana sering bermain dengan rakan sekampung di Butterworth, Pulau Pinang sewaktu kecil,” katanya.

Turut teruja berpeluang bekerjasama dengan pelakon terkenal Shaheizy Sam, dia mengakui pada mulanya berasa kekok untuk membawa wataknya dan bertutur dalam bahasa Melayu.

“Watak saya sebagai lelaki samseng dan dikehendaki melakonkan babak garang dan bergaduh, jadi berasa kekok kerana tidak pernah melalui situasi sedemikian walaupun dalam kehidupan sebenar,” katanya.

Pun begitu, Aniu seronok berganding dengan Shaheizy yang disifatkan sebagai pelakon yang berdedikasi dalam kerjaya.

“Beberapa minggu sebelum penggambaran, saya dan Shaheizy bertemu untuk membuat latihan, Jadi keserasian sudah ada apabila penggambaran bermula.

“Banyak pengalaman melucukan sepanjang penggambaran cuma saya berdepan kesukaran mengingati dialog apabila ayatnya terlalu panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:00 AM