ZULKIFLI pada taklimat media, semalam.
ZULKIFLI pada taklimat media, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Naza Financial Sevices, cabang perniagaan Kumpulan Naza dalam pembiayaan kewangan menerusi Naza Creadit & Leasing Sdn Bhd (Naza Creadit & Leasing) melihat industri pembiayaan tempatan tumbuh pada kadar sederhana berikutan situasi ekonomi yang mencabar tetapi memberi peluang kepada institusi pembiayaan berlesen yang kecil untuk berkembang.

Ini berikutan kebanyakan bank tempatan mengambil langkah lebih berhati-hati bagi memberi pembiayaan kepada orang ramai mengikut kemampuan pendapatan berbanding institusi pembiayaan berlesen yang lebih mudah memberi kelulusan.

Timbalan Presiden 2 Naza Financial Services, Zulkifli Mohd Radzi berkata, walaupun institusi pembiayaan berlesen yang kecil lebih mudah meluluskan pembiayaan, pemain industri itu juga akan menilai faktor lain yang membolehkan peminjam membuat pembayaran semula antaranya bekerjasama dengan koperasi.

Beliau berkata, seperti Naza Creadit & Leasing, pihaknya memberi pembiayaan antara RM40,000 hingga RM100,000 pembiayaan peribadi menerusi badan koperasi dan pembiayaan sehingga 90 peratus bagi pembelian motosikal.

“Namum, kita juga seperti bank yang memberi pinjaman kepada orang ramai dan tidak mahu berdepan dengan risiko peningkatan hutang tidak berbayar (NPL) yang kerjasama dengan koperasi adalah salah satu startegi membolehkan orang ramai mendapat pembiayaan dan kita tidak mengalami kerugian.

“Dengan situasi ekonomi dijangka mencabar tahun ini, ia akan mengakibatkan kuasa membeli orang ramai menurun dan memberi kesan kepada perniagaan kami yang diunjurkan berkembang sekitar enam peratus berbanding tujuh peratus dari tahun ke tahun pada tahun sebelumnya,” katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Naza Creadit & Leasing mempunyai lima segmen pembiayaan iaitu motosikal, kenderaan bermotor, kenderaan komersial, konsumer dan industri. Segmen pembiyaaan motosikal menjadi penyumbang utama dalam perniagaannya iaitu sebanyak 80 peratus.

Zulkifli berkata, Naza Creadit & Leasing mencatatkan NPL sekitar tujuh peratus tahun lalu dan mengunjurkan lima peratus pada tahun ini dengan mengetatkan beberapa syarat pembiayaan dalam usaha mengurangkan peratusan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 7:59 AM