Kuala Lumpur: Naza Financial Services cabang perniagaan perlindungan Kumpulan Naza menerusi Naza Coverage Sdn Bhd (Naza Coverage) menggunakan pendekatan memberi peluang kepada pelajar dalam institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) untuk menjadi usahawan dalam bidang takaful keluarga dengan kerjasama Takaful Ikhlas Bhd (Takaful Ikhlas).

Ketika ini, dalam perniagaan perlindungan Naza Coverage terdapat dua segmen perlindungan iaitu kenderaan dan bukan kenderaan apabila masing-masing menyumbang 70 dan 30 peratus kepada anak syarikat Kumpulan Naza berkenaan.

Timbalan Presiden 2 Naza Financial Services, Zulkifli Mohd Radzi berkata, hasil kerjasama Naza Financial Services dan Takaful Ikhlas yang mewujudkan program keusahawanan takaful dengan pusat keusahawanan di empat IPTA telah melahirkan 30 perunding takaful.

Beliau berkata, empat IPTA itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Universiti Teknikal Malaysia (UTeM).

“Kami menyasarkan enam IPTA bagi mengadakan kerjasama baru pada tahun ini iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Putera Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Menerusi kerjasama ini, syarikat optimis mampu mencatatkan 200 perunding takaful menjelang akhir tahun ini kerana ia mampu memberi pulangan positif kepada pelajar menjana pendapatan sampingan,” katanya pada taklimat media di sini, baru-baru ini.

Semua perunding berkenaan akan menjadi ejen dalam produk perlindungan keluarga merangkumi kesihatan, pendidikan dan pelaburan. Setiap perunding juga ditawarkan pulangan sehingga 35 peratus daripada jumlah premium yang dibayar pelanggan.

Zulkifli berkata, pelaksanaan kerjasama itu memberi kesan positif untuk mengukuhkan perniagaan perlindungan bukan motor ketika ini dan salah satu usaha Kumpulan Naza untuk membentuk usahawan muda dalam kalangan pelajar universiti.

“Kami memberi peluang kepada setiap lapisan pelajar tidak mengira mereka menuntut pada tahun pertama atau akhir untuk menjadi usahawan secara sepenuh atau separuh masa dalam bidang ini,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 8:09 AM