MANCHESTER: Pengendali Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino (gambar) percaya masih ada peluang buat penjaring terbanyak Harry Kane beraksi menentang juara bertahan Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.

Penyerang England itu sudah meledak 13 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini dan mengumpul lima gol di pentas Eropah menentang Borussia Dortmund dan Apoel Nicosia.

Kane bagaimanapun tidak beraksi ketika kekalahan 1-0 di tangan Manchester United dalam saingan Liga Perdana di Old Trafford malam tadi akibat kecederaan hamstring ketika bertemu Liverpool, serta terlepas pertemuan Piala Liga di mana Spurs tewas kepada West Ham.

“Kita akan lihat dalam beberapa hari lagi jika dia mampu mencapai tahap kecergasan sepatutnya untuk bermain menentang Real Madrid,” kata Pochettino. “Kami perlu menilainya dan membuat keputusan.”

Skuad kendalian Pochettino terlepas peluang untuk melonjak ke tangga kedua liga mengatasi United, tetapi pengendali dari Argentina itu tidak bersetuju apabila kekalahan itu dikatakan berpunca daripada ketiadaan Kane.

“Anda akan sentiasa kehilangan penyerang utama dan Harry Kane adalah penyerang terbaik di dunia, itu sudah pasti,” kata Pochettino. “Tetapi itu bukan alasan untuk hari ini. Kami tewas bukan kerana Harry Kane tidak beraksi.

“Bola sepak adalah sukan berpasukan dan anda perlu sentiasa menyesuaikan keadaan apabila seseorang tidak cukup cergas untuk bermain. Saya gembira dengan prestasi setiap orang dan saya rasa kami berhak mendapat lebih daripada sifar.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 1:53 PM