Bertemu kembali kita di ruangan sihat dan cergas bersama saya. Diharapkan, pada hari ini dan seterusnya, anda menerapkan amalan kekal hidup sihat dan cergas dalam kehidupan seharian.

Topik kita pada kali ini masih seperti keluaran sebelum ini berkenaan kisah insan yang berjaya mengurangkan berat badan dan kini aktif menjalani kehidupan yang sihat dan cergas.

Berbalik kepada topik hari ini, bagaimana kawalan pemakanan dan cara berhadapan dengan makanan dapat membantu seseorang mengurangkan berat badan.

Ismalela Ismail, 32, memiliki berat 111 kilogram (kg) dan kini berjaya menurunkan berat badannya kepada 76 kg, sekali gus memberikan beliau kekuatan untuk kekal aktif dan cergas dalam menjalani kehidupan seharian.

Ismalela bekerja sebagai penganalisis sistem di syarikat swasta dan seorang peserta Jom Kurus 1 Malaysia sejak musim pertama. Kira-kira sembilan bulan selepas itu, beliau berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 35kg.

Berikut serba sedikit mengenai perjuangan Ismalela dalam usahanya mengurangkan berat badan.

"Berat badan saya mula meningkat ketika mula menuntut di universiti sehinggalah ke alam pekerjaan. Percubaan mengurangkan berat badan memang tidak berhenti, tetapi tidak pernah berjaya sebaliknya semakin bertambah.

"Namun semuanya bermula apabila saya dan keluarga hendak menunaikan umrah pada Januari lalu. Seperti semua maklum, stamina dan kecergasan yang baik amat perlu bagi melancarkan pergerakan ketika umrah, tambahan lagi saya perlu menjaga ibu saya yang meng­gunakan kerusi roda. Atas sebab itu, saya nekad untuk mengurangkan berat badan yang ketika itu mencecah 111 kg.

"Bagi mencapai misi itu, saya nekad mengikuti program Jom Kurus Al Hijrah dan Jom Kurus 1 Malaysia. Tanpa kawan dan ilmu, saya tetap teruskan. Sepanjang program enam minggu itu, banyak ilmu yang saya pelajari terutama berkenaan kalori defisit.

Kalori defisit

"Selain soal pemakanan, pelbagai aktiviti dianjurkan yang saya rasa tidak mampu dilakukan seperti mendaki Bukit Broga, bermain futsal dan latihan litar dapat saya harungi. Rasa macam tidak percaya, tetapi atas sokongan rakan sekeliling yang mempunyai misi dan matlamat yang sama, saya berjaya.

"Sepanjang program itu, saya berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 10 peratus dari berat asal, sekali gus merangkul status Juara Kategori Wanita pada masa itu.

"Gaya hidup saya sebelum ini sangat berbeza, 100 peratus berubah! Dulu, saya paling tidak suka berpeluh, letak kereta hampir de­ngan kedai dan memastikan makanan mesti sedap. Memang apa yang saya buat sebelum ini, tidak selari dengan matlamat hendak mengurangkan berat badan.

"Antara kesilapan saya yang sering dilakukan dulu adalah meninggalkan sarapan pagi, tidak mengambil nasi tetapi mengambil makanan lain yang tidak sihat serta tidak minum air masak.

"Selain itu, saya juga pernah mengambil produk pelangsingan. Semuanya tidak memberi kegembiraan dan kepuasan kepada saya kerana memerlukan pelaburan yang besar dan tidak berkesan seperti yang dijanjikan," kata Ismalela.

Tahniah diucapkan kepada Ismalela atas kejayaan yang dikecapi dan yang paling penting adalah beliau masih mengekalkan cara hidup aktif dan sihat hingga ke hari ini dan berusaha mencari program untuk membantunya mendapatkan motivasi dalam mengurangkan berat badan.

Ismalela menyebut mengenai kalori defisit. Apakah itu kalori defisit? Seringkali saya ungkapkan kata-kata ini dalam membantu dan menterjemahkan cara me-ngurangkan berat badan.

3 hidangan

Kalori defisit terjadi apabila jumlah tenaga makanan (kalori) yang diambil kurang daripada jumlah kalori yang digunakan.

Ia menyebabkan berat badan berkurangan. Benar, dengan defisit kalori daripada jumlah kalori harian anda, ia dapat membantu seseorang mengurangkan berat badan.

Kalori defisit boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Yang penting, anda mempunyai ilmu berapa jumlah kalori yang perlu didefisitkan dan juga pemakanan bagaimana yang dapat membantu anda mengurang­kan kalori berlebihan.

Mari kita lihat bagaimana Ismalela mengurangkan kalori defisit harian beliau:

1. Tidak meninggalkan tiga hidangan utama (sarapan, makan tengah hari dan makan malam) serta me-ngambil snek antara hida-ngan.

2. Pengambilan makanan yang seimbang karbohidrat, protein dan lebihkan serat (sayuran/buah).

3. Kurangkan pengambilan gula, garam dan minyak dalam masakan.

4. Perbanyakkan minum air kosong.

5. Jauhkan makanan ringan.

Tip lain:

• Sebagai penggemar kari, saya gunakan susu rendah lemak sebagai pengganti santan dan menumis dengan minyak yang minimum.

• Mula belajar untuk minum air kosong dan jika bosan saya akan masukkan perahan lemon sebagai perasa.

• Sediakan makanan sendiri. Tidak beli di kedai.

• Sentiasa bawa bersama epal atau biskut rendah sodium bagi mengelak rasa lapar.

• Jika teringin makan kek keju, saya makan bagi me-ngelakkan tekanan. Tetapi, senaman untuk hari itu perlu dipertingkatkan bagi memastikan kalori defisit tetap berlaku.

Menarik bukan? Bagi Ismalela, kunci utama adalah mengawal makanan yang dijamah setiap hari. Ini adalah contoh dan cara Ismalela mengurangkan dan mendefisitkan kalori harian beliau.

Setiap orang mungkin berbeza. Oleh itu, lakukanlah dengan cara anda dan kaji bagaimana kawalan pemakanan dapat membantu mengurangkan berat badan berlebihan.

Ia akan jadi mudah jika mempunyai ilmu dan tahu mengenai pemakanan sihat serta menikmati hidangan dapat membantu anda mengawal kalori berlebihan.

Selain itu, Ismalela juga membakar kalori berlebihan dengan melakukan aktiviti kecergasan seperti badminton, zumba dan skipping, angkat berat, larian, kem kecergasan, 'HIIT' Zumba dan sebagainya. Beliau akan memastikan dia sentiasa aktif. Akhir sekali, ia akan menjadi tabiat dan cara hidup yang sihat sepanjang masa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 5:00 AM