FAM mahu Dollah (kiri) pilih pemain terbaik wakili negara.
FAM mahu Dollah (kiri) pilih pemain terbaik wakili negara.

Kuala Lumpur: Selepas kempunan melihat skuad Harimau Malaya beraksi di pusingan akhir Piala Asia bulan lalu di Australia, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini mengharapkan sentuhan jurulatih Dollah Salleh untuk merealisasikan impian itu pada edisi 2019.

Sasaran layak ke Piala Asia dalam tempoh empat tahun lagi itu diumumkan presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semalam yang mengharapkan pencapaian baru bakal dilakar dalam sejarah bola sepak tanah air.

“Saya sasarkan pasukan negara mendapat tempat ke Piala Asia 2019. Untuk itu kita minta Dollah membuat perancangan rapi dari segi pemilihan pemain. Kita juga mahu pemain meningkatkan tahap kecergasan termasuk ketika beraksi dalam liga,” katanya ketika ditemui semalam.

Malaysia gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia Australia bulan lalu selepas hanya menduduki tempat ketiga Kumpulan D pada saingan kelayakan di belakang Bahrain dan Qatar.

Kali terakhir Harimau Malaya beraksi di kejohanan itu pada 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama namun gagal memberi tentangan apabila menduduki tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

FAM perlu merancang persiapan lebih rapi jika mahu impian itu bertukar menjadi kenyataan dan bukannya sekadar ungkapan seperti yang terjadi ketika mereka menetapkan sasaran untuk layak ke Piala Dunia 2014.

Anak buah Dollah akan mengharungi pusingan kelayakan Piala Asia Jun ini yang buat kali pertama turut dijadikan kelayakan ke Piala Dunia 2018.

Peluang mereka tampak cerah kali ini dengan format baru 24 pasukan beraksi pada pusingan akhir Piala Asia berbanding 16 pasukan sejak 2004.

Tengku Abdullah yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan Skuad Kebangsaan semalam berkata, perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Ivory Coast yang dirancang hujung Mac ini bakal menjadi ujian hebat buat Harimau Malaya.

“FAM mengatur perlawanan dengan Ivory Coast, tapi masih belum disahkan. Saya harap kita dapat merealisasikan perlawanan itu.

“Bagus kalau kita dapat menentang pasukan seperti ini dan mereka tidak pernah datang ke Malaysia sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 6:58 AM