AZIZULHASNI (tengah) menunjukkan pingat dimenangi.
AZIZULHASNI (tengah) menunjukkan pingat dimenangi.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Pelumba trek negara Azizulhasni Awang memulakan tahun 2015 selaku juara keirin Asia apabila mengungguli acara berkenaan pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Thailand, semalam.

Lebih menggembirakan Azizulhasni, kemenangan kali keempat itu menjadikan dirinya pelumba terbanyak menjuarai acara keirin di ACC selepas melakukannya pada 2007, 2008 dan 2009.

Pelumba harapan negara itu mengenepikan cabaran pesaing dari Jepun, Kazunari Watanabe dan Worayut Kapunya (Thailand) yang terpaksa akur dengan pingat perak dan gangsa pada perlumbaan di Nakhon Ratchasima itu.

Kejayaan itu sekali gus memadam memori pahit Azizulhasni pada Sukan Asia dan Komanwel tahun lalu serta menyuntik tonik terbaik untuk pelumba berusia 27 tahun itu menghadapi Kejohanan Trek Dunia di Perancis dua minggu lagi.

“Akhirnya hasrat saya menebus kekalahan tahun lalu di tangan seorang lagi pelumba Jepun (Yuta Wakimoto) berjaya.

“Saya turun beraksi di final dengan tenang, namun tetap berhati-hati kerana Jepun dan China masing-masing mempunyai dua pelumba.

“Pasti mereka akan memberi bantuan sesama sendiri, namun saya cuba fokus kepada diri sendiri dan melaksanakan taktik diarahkan jurulatih,” kata Azizulhasni yang turut menghadiahkan kemenangan itu kepada isterinya, Athiah Ilyana Abd Samat sempena ulang tahun kelima perkahwinan 30 Januari lalu.

Azizulhasni akan kembali beraksi acara pecut individu esok dalam misi mempertahankan emas dimenanginya tahun lalu.

Seorang lagi pelumba elit negara Fatehah Mustapa meraih perak acara 500 meter ujian masa apabila kecundang kepada seteru utama dari Hong Kong, Lee Wai Sze yang mencatat 35.017 saat.

Barisan pelumba remaja pula menyaksikan Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin meraih gangsa sekali gus gagal mempertahankan emas dimenangi Muhammad Firdaus Mohd Zonis tahun lalu manakala Eiman Firdaus Mohd Zamri menyumbang sebutir lagi gangsa menerusi acara scratch.

Harapan meraih emas hari ini disandarkan kepada Muhammad Firdaus yang tampil pada peringkat elit buat kali pertama di pentas ACC untuk mengungguli acara 1 kilometer ujian masa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 9:53 AM