BASRI (tengah) menunjukkan produk air kesihatan Oxygen Vivie-E.
BASRI (tengah) menunjukkan produk air kesihatan Oxygen Vivie-E.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Vivie-E Wellness Sdn Bhd (Vivie-E Wellness), pengeluar air ozon jenama Vivie-E optimis mampu mencapai sasaran jualan sebanyak 41,000 karton pada setiap bulan bermula Jun ini berbanding purata 9,000 karton pada masa ini memandangkan produk itu dijangka menerima sambutan menggalakkan terutama menjelang Ramadan tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Basri Omar berkata, keyakinan itu berdasarkan keberkesanan produk Vivie-E yang mampu menjana tenaga terutama pada bulan puasa dan ia dilihat sebagai masa paling sesuai bagi syarikat meningkatkan aktiviti promosi melalui pengiklanan di media cetak dan elektronik.

“Kami akan mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai kelebihan air ozon ini sebagai usaha untuk menguasai kira-kira 15,000 hingga 20,000 pengguna di negara ini pada setiap bulan, sekali gus mencapai jumlah sasaran ditetapkan,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Vivie-E adalah air minuman osmosis berbalik (RO) yang diperkaya dengan molekul ozon di mana ia dibuat melalui proses penghasilan ozon yang dicipta melalui teknologi Vivie-E Wellness itu sendiri. Antara kelebihan produk itu ialah ia membantu sistem pencernaan, agen awet muda, membunuh kulat, bakteria serta virus yang tidak diperlukan darah dan lain-lain.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi fokus untuk mengukuhkan pasaran di Semenanjung pada masa ini dengan menyasarkan pelantikan 40 stokis negeri dan daerah serta 400 ejen sebelum akhir tahun ini sebelum mula beralih ke Sabah dan Sarawak yang masih belum diterokai.

“Sehingga kini, kami hanya mempunyai lima stokis di Selangor, Perak, Johor, Pahang dan Terengganu manakala enam stokis daerah serta 80 ejen. Oleh itu, kami amat mengalu-alukan penyertaan daripada orang ramai yang berminat membabitkan diri dalam perniagaan ini,” katanya.

Menurutnya, syarikat juga sedang mengadakan perbincangan dengan pasar raya besar terkemuka iaitu Giant dan Mydin serta Felda untuk meluaskan pasaran produk Vivie-E yang kini masih di peringkat rundingan dan dijangka dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini.

“Apa paling menarik, kami tidak akan mengendalikan urusan pemasaran dengan pihak terbabit di mana segala urusan akan dikendalikan stokis bagi memberi lebih peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 9:18 AM