BARISAN artis Rockers Apa Khabar musim pertama.
BARISAN artis Rockers Apa Khabar musim pertama.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Bukan mudah menghimpunkan pemuzik rock era 1980-an dan 1990-an dalam sebuah program khas.

Ada di antara mereka sudah meninggalkan bidang seni, malah ada yang sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun IBAR Resources berjaya menyatukan mereka dalam sebuah program berjudul Rockers Apa Khabar. Musim pertama program 13 episod ini sudah disiarkan menerusi TV2 baru-baru ini.

Program dirakam di Stadium Putra Bukit Jalil ini menampilkan 13 artis band rock era berkenaan seperti Satira, Burnmark, Junction, Sejati, EYE, Samudera, U-Topia, CRK, Graviti, Bloodshed, Lela, Putra dan Meditasi.

Ia juga diangkat sebagai Program Terbaik (Hiburan) RTM 2014.

Selain itu, satu lagi program terbitan IBAR Resources iaitu Rock Selamber kendalian Galaksi Muzik FM turut diangkat sebagai Program Radio Terbaik RTM 2014.

Sehubungan itu, IBAR Resources menganjurkan majlis hibur santai bersama Rockers Apa Khabar di Ruang Santai Terbuka Restoran Gulam Mee di Kota Damansara, Selangor, malam ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IBAR merangkap Penerbit Eksekutif Rockers Apa Khabar, Megat Syafnir Farree berkata, ia bertujuan membuktikan band rock terbabit masih berbisa dan memiliki ramai peminat.

“Dalam majlis itu, mereka juga akan dianugerahkan sijil penghargaan daripada Rockers Apa Khabar. Ia boleh diumpamakan sebagai majlis ‘reunion’.

“Bukan setakat itu saja, kami juga menjemput peminat untuk sama-sama hadir menonton acara ini. Mereka akan disajikan dengan persembahan 13 band yang akan membuat penampilan semula selepas menyepi lebih 15 tahun,” katanya.

Antara band rock lama yang akan membuat persembahan ialah Ababil, Senna, Lipan Bara, Qiara, Fantasia, Sakura, Sniperz, Trimmer, Sutera, Lan Gamma And Superman, Lestari, Azimat dan Baji.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran band seperti Dinamik, Gravity, Lela, Putra, CRK, Junction, Samudera, Pearl, Handy Black, Wicitra dan Bloodshed.

Ia dianjurkan dengan kerjasama dengan PRISM Malaysia Berhad, Pertubuhan Apa Khabar Rockers (PAKaR), Sound Audio Manufacturing Rockers Apa Khabar (SAMRAK) dan Gulam Mee Sdn Bhd sebagai penaja pentas, sistem bunyi dan lokasi.

Di samping itu, majlis ini juga sebagai pembuka gelanggang untuk pencarian dan penilaian program Rockers Apa Khabar musim kedua yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 5:00 AM