Kuala Lumpur: Kerajaan sekali lagi memberi jaminan tiada kenaikan kadar tarif elektrik sepanjang tahun ini.

Perkara itu dinyatakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, semalam.

“Kalaupun tiada penurunan, kadar tarif sedia ada akan kekal hingga akhir tahun, tidak akan naik.

“Ia tertakluk kepada kedudukan kos input ataupun bahan api dan kerajaan akan lakukan semampu mungkin elak kenaikan ini,” katanya.

Penetapan kadar tarif elektrik bukan bergantung kepada harga satu bahan bakar saja sebaliknya terdapat dua lagi faktor lain iaitu campuran bahan bakar serta kos penjanaan.

Kos bahan bakar minyak menyumbang satu peratus daripada keseluruhan campuran bahan bakar untuk penjanaan elektrik.

Pihaknya sentiasa memantau perubahan kos bahan bakar digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik seperti gas asli berpaip, arang batu dan gas asli cecair (LNG).

“Gas asli berpaip dan LNG bahan bakar utama penjanaan yang menyumbang 54 peratus daripada keseluruhan campuran bahan bakar.

“Ketika ini, kerajaan memberikan subsidi kepada gas asli berpaip manakala harga pasaran arang batu yang digunakan menjana elektrik didapati lebih rendah berbanding harga tanda aras sejak 2014,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 9:59 AM