KEKAL asli.
KEKAL asli.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

BMW adalah singkatan untuk Bayerische Motoren Werke atau maknanya dalam bahasa Inggeris, Bavarian Motor Works.

Sehingga kini sudah banyak model dikeluarkan syarikat Jerman itu, namun di sebalik nama dan kemegahan BMW yang sering dikaitkan dengan golongan atasan, ia juga tidak menghalang generasi muda masa kini untuk meminatinya terutama jentera kategori lama.

Satu daripadanya model BMW E28 iaitu generasi kedua daripada BMW 5 Series yang dikeluarkan antara 1981 sehingga 1988.

Biarpun jentera itu tampak sudah berumur, kekuatan enjinnya tanpa pengubahsuaian sangat ‘memukau’ sesiapa sahaja yang memandunya.

Seorang anak muda, Ku Zahirul Ku Habri, 21, dari Kulim, Kedah yang juga pekerja kedai aksesori kereta, tidak sekali-kali menyesal memiliki BMW E28 sebagai pilihannya.

Minat mendalam terhadap reka bentuk dan gaya membuatkan dia berani dan sanggup membelanjakan sejumlah wang untuk memiliki serta mengubah suai jentera berkenaan.

Percaya atau tidak, jentera E28 buatan 1987 yang dimiliki, sebenarnya dibeli dari premis besi buruk dengan harga kurang RM2,000. Namun selepas proses restorasi dilakukan selama hampir setahun, jenteranya kini tidak lagi layak digelar ‘besi buruk’.

Proses restorasi bermula dengan menukar enjin M20B20 berikutan rangkaian kuasa sedia ada iaitu jenis sama tidak boleh digunakan lagi akibat rosak teruk. Sebaliknya, sistem kuasa enjinnya terus dipertingkatkan dengan menggunakan ekzos binaan khas.

Selepas enjin baru dipasang, pemiliknya mengubah suai kotak gear bagi memberikan lebih kuasa di samping meningkatkan sesarannya daripada 2,000cc kepada 2,200cc.

Biarpun tidak menggunakan jentera itu di litar atau bersaing secara haram di jalan raya biasa, kelajuannya mampu mencecah hampir 200 kilometer sejam (km/j) dengan hanya menggunakan rangkaian kuasa asal.

Bagi tampil berbeza, enjin diwarnakan ceria serta ditambah beberapa aksesori lain seperti hos tahan panas Sumco, penapis angin HKS dan meter tekanan minyak.

Pada luaran pula, komponen asal masih kekal dengan padanan lampu hadapan, belakang dan kit badan yang lama. Cuma ia tampak lebih gah dengan padanan rim BMW bersaiz 18 inci.

Begitu juga ruangan dalamannya apabila hanya dibaluti sarung kerusi tempat duduk warna elegan supaya tampak jentera ala VVIP. Daripada papan pemuka, stereng, gear, semuanya masih padanan komponen asal.

Biarpun melabur lebih RM12,000 untuk membina semula jentera itu, Ku Zahirul masih belum berpuas hati dan merancang untuk mengubah suai lagi pada masa akan datang supaya tampak lebih unik serta berbeza.

SPESIFIKASI:

BMW E28 (keluaran 1987)

Ubah suai enjin:

- M20B20 2,000cc

- Kotak gear

- Hos tahan panas Sumco

- Penapis udara HKS

- Meter tekanan minyak

Ubah suai luaran:

- Rim BMW 18 inci

- Suspensi binaan khas

- Ekzos binaan khas

Kos Modifikasi:

- RM12,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 5:01 AM