Oleh Rudy Imran Shamsudin


Debaran makin terasa bagi komposer, penulis lirik dan penyanyi yang berjaya melayakkan diri ke Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, 18 Januari ini.

Mempertaruhkan lagu Apa Khabar ciptaan dan lirik Joe Flizzow dan Sonaone, Di Pintu Syurga (Tam Spider/Iman Imran), Gadis Jolobu (DJ Fuzz/WARIS dan Datuk Hattan), Lelaki (Yuna/AG Coco), Percayalah (Aiman/Mohd Atlas), Gilalah (Omar K/Mike Chan), Sesal Separuh Nyawa (Alfie Alwi dan Aidil/Shah Shamsiri dan Alyah), Rentak Laguku (Sam Bunkface), Matahari (Ajai/Transformer Melayu), Malaikat (Omar K/Mike Chan/Hazama) dan Romancinta (Edry Abdul Halim).

Tema Gema Dalam Muzik yang jadi pilihan kali ini membuatkan penggiat yang layak cuba menampilkan kelainan terhadap karya masing-masing, terutama membabitkan susunan lagu.

Tambah pula tahun ini AJL29 menampilkan 50 pemuzik orkestra di bawah pimpinan Datuk Ramli MS bagi menepati tema ditampilkan.

Pastinya cabaran besar dihadapi untuk memikirkan bagaimana karya mereka mampu kedengaran gah dengan jumlah alatan muzik besar ditampilkan.

Ramai menjangkakan tahun ini Apa Khabar mempunyai kelebihan mengungguli AJL29 jika barisan juri melihat genre apa yang menguasai industri hiburan tempatan masa kini.

Apatah lagi karya dihasilkan Sonaone, No More diangkat Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik Ke-21 (AIM21), baru-baru ini.

Joe sewaktu ditemui mengakui, dia dan Sonaone tidak memberi perhatian kepada pandangan umum mengatakan karya dihasilkan bakal diangkat sebagai juara AJL29, andai dilihat dari sudut genre muzik mana yang menguasai industri muzik tempatan sekarang ini.

Katanya, yang penting dan membuatkan mereka terharu ialah sokongan orang ramai dan peminat, sekali gus menunjukkan lagu rap mempunyai kredibiliti.

"Tumpuan kami sekarang adalah menghasilkan skor muzik yang mampu membuktikan rap boleh diangkat dalam skala orkestra besar.

"Bagi kami, kehadiran 50 pemuzik orkestra memberi peluang kepada mereka menampilkan kreativiti," katanya.

Joe atau nama sebenar­nya Johan Ishak berkata, bagi menghangatkan lagi persembahan menepati tema Gema Dalam Muzik, mereka cuba mengoptimumkan penggunaan alatan bertali.

"Orang sering beranggapan muzik rap tidak layak diper­tandingkan dalam arus muzik perdana kerana kreativitinya terhad, namun dengan penampilan hampir 50 pemuzik orkestra ini, kami cuba membuktikan pandangan mereka salah.

"Malah, kami menggunakan 30 saat pembukaan muzik Apa Khabar dengan kreativiti muzik sepenuhnya. Persembahan di pentas juga pasti berbeza ­dengan gubahan yang dilakukan pada lagu Apa Khabar," katanya.

Dalam menghasilkan susunan semula muzik untuk menampilkan kelainan dalam corak persembahan, Hazama dilihat memiliki kelebihan memandangkan kekasihnya, Genervie Kam pengarah muzik berpengalaman.

Penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9) akui perkara itu kerana ­Genervie turut sama dalam kumpulan Penglipulara dan bakal mengadakan per­sembahan bersama-sama­nya di ­pentas AJL29.

"Ini kali pertama saya mencipta lagu dan lirik bersama Omar K dan Mike Chan. Pada peringkat awal memang saya langsung tidak menaruh harapan tinggi untuk lagu ini tetapi apabila Malaikat diumumkan layak ke AJL29, saya bersyukur.

"Apabila diberi tema Gema Dalam Muzik dengan ­sekumpulan besar orkestra mengiringi persembahan, tentu karya dihasilkan menjadi lebih serius.

"Genervie banyak membantu dalam memberi idea apa yang harus saya lakukan. Cuma saya belum menetapkan dari sudut visual bagaimana ia akan dilakukan," katanya.

Bagi pencipta bersama lagu Sesal Separuh Nyawa, Nik Aidil Nik Zamri (Aidil), selain kehadiran 50 pemuzik orkestra dia turut mencadangkan kepada Alyah supaya menampilkan sekumpulan koir untuk mengiringi persembahannya.

Katanya, ia sekadar cada­ngan dan terpulang kepada Alyah untuk menentukan corak persembahannya pada malam itu nanti.

"Sewaktu peringkat awal lagu itu dihasilkan, memang saya sertakan vokal koir sebagai latarnya. Saya berasakan ia lebih ­menarik jika ia dilakukan.

"Apapun, saya tidak boleh bercerita banyak mengenai­nya dan biar ia menjadi kejutan kepada penonton dan peminat yang menyaksikan persembahan Alyah di pentas AJL29," katanya.

Perhatian di pentas AJL29 kali ini pasti tertumpu kepada Hafiz Suip yang saban tahun melakar kejayaan, sama ada lagu yang bertanding serta dirinya untuk Vokal Terbaik.

Bertanding menerusi lagu Matahari, kata Hafiz, seperti biasa rutin dilakukan setiap kali tiba hari pertandingan besar ialah mengikuti kelas vokal bagi memantapkan nyanyian.

Kata Hafiz, dia sebaik mungkin cuba memberi persembahan terbaik dan untuk itu dia seperti biasa melakukan rutin seperti sebelum ini.

"Kelas vokal itu harus saya ikuti dan pada waktu sama, saya sangat menjaga pemakanan dan memastikan mendapat rehat yang cukup. Saya juga melakukan senaman bagi mendapatkan stamina," kata­nya.

Yuna yang terikat ­dengan urusan kerjaya muziknya di Amerika Syarikat hingga terpaksa menarik diri untuk tampil di pentas AJL29 turut melakukan kejutan apabila mengumumkan Najwa Mahiaddin untuk mendendangkan lagu Lelaki.

Najwa sewaktu dihubungi berkata, dia teruja dan terharu dipilih Yuna, apatah lagi dia ­meminati lagu Lelaki dan percaya ia mempunyai kekuatan tersendiri.

Katanya, dia akan tampil di pentas AJL bersama kumpulan The Palauans yang sering me­ngiringi persembahan Yuna.

"Dalam memastikan per­sembahan bakal dilakukan berjaya mememangi hati peminat, tentu keserasian antara kami sangat penting.

"Melalui sesi latihan gigih ­setiap hari, saya yakin kesempurnaan dan keserasian antara kami dapat diperoleh. Lebih banyak latihan dilakukan, ­bermakna kita akan lebih selesa dan yakin antara satu sama lain. Insya-Allah, saya dan The ­Palauans akan memberi ­persembahan terbaik," katanya.

Najwa akui turut mengalami ­tekanan apabila membawakan lagu itu di pentas AJL29, lebih-lebih lagi apabila lagu bakal didendangkan itu milik Yuna.

"Saya sebaik mungkin tidak mahu mengecewakan ­peminat Yuna yang ­mengharapkan lagu itu mencatat kejayaan.

"Bagaimanapun, sewaktu sesi latihan pertama bersama The Palauans, Yuna turut serta dan membantu saya menguasai lagu Lelaki dengan sebaiknya.

"Kepercayaan diberi menambah lagi keyakinan saya dan sedikit sebanyak tekanan dirasai sebelum ini semakin ­berkurangan," katanya.

Sebelum ini ketika AJL27, Yuna juga menarik diri untuk mempersembahkan lagu Terukir Di Bintang dan tempatnya digantikan Aizat pada saat akhir menggantikan calon pilihan Yuna, Uji Rashid. Lagu itu turut mencatat kejayaan besar apabila diangkat juara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:01 AM