Oleh Amirul Haswendy Ashari


Kurang dari 24 jam, Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29) menjadi pentas anugerah ‘paling panas’ buat komposer, penulis lirik dan penyanyi tempatan untuk merebut gelaran juara.

Bersiaran secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil jam 9 malam ini, 12 lagu terbaik layak ke AJL29. Antara 12 ini, Gilalah (Stacy), Gadis Jolobu (Datuk Hattan & Waris), Malaikat (Hazama), Romancinta (Mojo), Apa Khabar (Joe Flizzow), Lelaki (Najwa Mahiaddin), Matahari (Hafiz Suip), Di Pintu Syurga (Dayang Nurfaizah), Rentak Laguku (Bunkface & Amy Search), Sesal Separuh Nyawa (Alyah) dan Percayalah (Indah Ruhaila), lagu manakah bakal dinobatkan juara?

Apakah lagu balada masih mampu mengungguli pentas AJL mengulangi sejarah tahun lalu dengan kejayaan Bahagiamu Deritaku ciptaan LY Baiduri? Malah, genre ini turut mendominasi pencalonan 12 lagu bertanding.

Atau mungkinkah tahun ini juara milik lagu hip hop yang kini dilihat mula mendominasi muzik tanah air?

SELEBRITI membuat pilihan empat lagu yang dilihat mempunyai harapan besar untuk menang tahun ini kerana kekuatan melodi, lirik dan vokal penyanyinya.

Walau apapun ramalan dibuat, keputusan tetap terletak pada juri profesional yang dilantik malam ini. Segala-galanya terletak pada kreativiti pengkarya untuk memberi persembahan terbaik dan kepuasan dalam lagu masing-masing.

Kepada pembaca SELEBRITI Metro Ahad yang menonton AJL29 malam ini, jangan lupa memuat naik status dan foto kreatif di laman sosial Instagram serta Twitter masing-masing dengan memasukkan hashtag (#AJL29) sebagai tanda sokongan serta berpeluang memenangi hadiah menarik!

Lagu: Di Pintu Syurga

Penyanyi: Dayang Nurfaizah

Komposer: Tam Spider

Lirik: Iman Imran

Kejayaan lagu Di Pintu Syurga meniti di bibir peminat kerana populariti drama bersiri Ariana Rose. Namun, apakah populariti sudah cukup untuk menjadikan lagu ini juara AJL29?

SELEBRITI percaya kekuatan lagu berentak balada ini bukan saja terletak di segi populariti, sebaliknya pada susunan muziknya yang memiliki perkiraan matematik yang menarik serta lirik puitis yang seiring dengan muzik.

Malah, setiap bait lirik dan lagu boleh dianggap memiliki perkaitan, sekali gus memberi ruang jelas kepada penilai untuk me­ngenal pasti Di Pintu Syurga mempunyai kredibiliti juara.

Ditambah pula keupayaan vokal Dayang yang memukau pada setiap persembahan live. Dayang memiliki ‘weight’ vokal ‘husky’ serta nada rendah yang stabil.

Dayang pernah mencatat kejayaan di AJL pada 2001 menerusi lagu Balada, Seandainya Masih Ada Cinta dan satu lagi menerusi lagu Lagu Irama & Etnik Kreatif, Erti Hidup pada 2004.

Cuma, Di Pintu Syurga mempunyai sedikit isu yang tidak terlalu ketara, terutama pada pe­ngulangan melodi pada beberapa karakter bridge ke korus sehingga menghilangkan sedikit elemen kejutan yang sepatutnya ada dalam lagu terbaik.

Mujur kemampuan Dayang melakukan akrobatik vokal menjadikan penyanyi dan lagu itu antara terhebat di liganya tersendiri.

Lagu: Apa Khabar

Penyanyi: Joe Flizzow feat SonaOne

Komposer: SonaOne

Lirik: Joe Flizzow

Genre rap melalui lagu Apa Khabar adalah sesuatu yang jujur lahir dari Joe Flizzow dan Sona­One. Kekuatan lagu ini terletak pada lirik garapan Joe yang menjurus ke arah kerinduannya pada sahabatnya, Malique.

Malah, kejujuran berpuisi secara rap oleh Joe menjadikan Apa Khabar satu karya yang dekat dengan dirinya.

Susunan muziknya yang mempunyai beberapa loop serta suntikan lebih moden dan kedengaran universal menjadikan Apa Khabar ada nilai besar di pasaran dunia.

Dek kejujuran dan nilai diperlihatkan dalam lagu ini, tidak mustahil Apa Khabar mampu mendapat kedudukan tersendiri di AJL29 malam ini.

Malah, bukan sesuatu yang mengejutkan seandainya Joe dan SonaOne memberi persembahan hebat dan seiring dengan peredaran zaman, ditambah pula dengan susunan muzik lebih besar, Apa Khabar bakal bergelar juara.

Lagu: Sesal Separuh Nyawa

Penyanyi: Alyah

Komposer: Alfie Tiga & Aidil

Lirik: Alyah & Shah Shamsiri

Kekuatan lagu Sesal Separuh Nyawa terletak pada liriknya yang puitis dan susunan muzik unik yang bermain dengan elemen waltz diiringi alat muzik bertali (string).

Malah, perkiraan matematik dalam lagu untuk Sesal Separuh Nyawa juga membuatkan ia kedengaran menarik dan senang dihadam.

Sesal Separuh Nyawa juga mempunyai ‘hook’ sendiri pada beberapa bahagian lagu, terutama pada peringkat korus yang melodinya turut melekat di dalam jiwa pendengar.

Pun begitu, lagu ini memerlukan vokal mantap dan Alyah mempunyai keupayaan itu dek pengalaman luas dalam beberapa siri AJL lalu. Pada AJL27, Alyah membawakan lagu Kisah Hati.

Tidak mustahil lagu ini mendapat tempat tiga teratas, termasuk Persembahan Terbaik, jika tuah berpihak pada Alyah.

Lagu: Matahari

Penyanyi: Hafiz

Komposer: Ajai

Lirik: Ajai

Kekuatan dan kemantapan vokal Hafiz tidak boleh disangkal lagi dek beberapa siri kejayaannya di AJL lalu. Tiga tahun berturut-turut Hafiz menang Persembahan Vokal Terbaik (Noktah Cinta, Awan Nano, Kuakui) dan tahun lalu Persembahan Terbaik untuk Bahagiamu Deritaku).

Malah, lagu yang dialun penyanyi ini turut mendapat tempat dalam kalangan peminat dan juri pertandingan.

Tidak mustahil Hafiz mampu membawa kembali kegemilangan kejayaan lalu seandainya dia memberi kejutan berbeza. Cuma, Hafiz kena berhati-hati tatkala memberi kejutan kerana bimbang ia basi dan mudah diramal.

Matahari juga lagu yang kuat dari segi susunan muziknya dan berani, terutama untuk memberi kelainan dalam sesebuah persembahan berskala besar seperti AJL.

SELEBRITI turut meramalkan lagu Matahari mampu meraih kejayaan besar malam ini selain Vokal Terbaik dan tiga tempat teratas dalam AJL29.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:04 AM