Oleh Shamsul Munir Safini

Kangar: Kedai barangan elektrik kerugian lebih RM40,000 selepas dipecah masuk dua suspek lelaki, 4.30 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, dua suspek lelaki dipercayai masuk ke premis berkenaan dengan memecahkan pintu hadapan kedai dengan memotong mangga dan mengumpil pintu besi sebelum melarikan lebih 34 telefon bimbit pelbagai jenama.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, kejadian berkenaan hanya disedari pekerja kedai sebaik mereka datang bekerja kira-kira 7 pagi tadi.

Katanya, sebaik dimaklumkan kepada polis, pihaknya mendapati pintu kedai dibiar terbuka oleh suspek.

Menurutnya, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan dan menyaranakan orang ramai memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terserempak dengan mereka yang menjual telefon bimbit dengan harga yang murah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah kedai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 2:02 PM