MICHAEL Mosley. FOTO AFP
MICHAEL Mosley. FOTO AFP
AFP

Athens: Guru diet Britain dan personaliti televisyen (TV), Michael Mosley ditemukan meninggal dunia pada Ahad di Pulau Symi, Greece, iaitu tempat dia dilaporkan hilang pada minggu lalu, kata polis.

"Orang ramai di atas bot melihat mayat berhampiran dengan pantai berbatu," kata Ketua Polis Wilayah Aegean Selatan,Petros Vassilakis,

Mayat itu dilihat oleh kru televisyen dari saluran awam ERT Greece ketika sedang menjalani penggambaran di kawasan lelaki berusia 67 tahun itu dilaporkan hilang.

"Seorang jurukamera melihat sesuatu yang pelik berhampiran pagar, 50 meter dari laut.

"Kami dapati lelaki ini... dia (dalam keadaan) terlentang," kata wartawan ERT Aristides Miaoulis di udara.

Datuk Bandar Symi, Lefteris Papakalodoukas turut bersama kru dan mengesahkan mereka menemukan mayat Mosley, yang sedang bercuti di pulau itu.

"Ia adalah mayat wartawan yang kami cari selama beberapa hari," katanya kepada ERT.

Pihak berkuasa pada Jumaat mengumumkan usaha meningkatkan pencarian selepas kehilangan Mosley yang kali terakhir dilihat, Rabu lalu.

Isterinya, Clare Bailey memaklumkan polis pada petang itu apabila Mosley tidak pulang dari berjalan di pantai sendirian.

Mosley dilatih sebagai doktor selepas bekerja sebagai jurubank pelaburan dan menyertai BBC sebagai penerbit pelatih.

Dia terus menerbitkan dokumentari sains dan sejarah, malah mencipta populariti sebagai guru kesihatan dan pengarang buku diet terlaris sejak sedekad yang lalu

Mosley juga pernah muncul dalam program TV termasuk 'The One Show' dan 'This Morning'.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 10:26 AM