Muhammad Apendy Issahak


PEKERJA kedai serbaneka 24 jam parah dibelasah dalam kejadian samun di Meru Permai, Ipoh, hari ini.

Mangsa, Harun Al-Rashid Abas Al-Rashid, 53, cedera di kepala dan tangan kiri akibat dipukul.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu dua lelaki dipercayai bersenjatakan batang besi dan parang masuk ke dalam kedai serbaneka berkenaan sebelum meluru terus ke mangsa di kaunter jualan dan memukul kepala mangsa.

Seorang daripada suspek turut mengacukan parang kepada isteri mangsa, Noraini Ismail, 31, yang ketika kejadian tidur dalam bilik belakang premis berkenaan.

Noraini berkata, dia terjaga apabila mendengar bunyi bising di ruang kaunter sebelum secara tiba-tiba seorang lelaki masuk ke dalam bilik dan mengacukan parang sambil menggugutnya untuk memberitahu di mana peti simpanan wang.

"Saya hanya jerit ketakutan beritahu tidak tahu, sebelum rakan suspek menjerit mengarahkan rakannya lari segera.

"Suspek sempat melarikan telefon bimbit saya dan saya kemudian keluar untuk melihat keadaan suami.

"Terkejut saya apabila melihat darah di lantai dan suami bejalan ke arah saya dalam keadaan kepala berlumuran darah," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, hari ini.

Menurutnya, walaupun kepala berlumuran darah suaminya sempat membuka pintu untuk seorang pelanggan yang ingin membeli barangan sejurus kejadian itu.

"Saya meminta tolong kepada pelanggan lelaki itu untuk menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan dan tidak lama kemudian polis dan ambulans tiba.

"Suami saya kini di dalam dewan bedah kerana menurut doktor selain retak pergelangan tangan kiri suami juga cedera di kepala dan terdapat pecahan tengkorak kepala," katanya

Noraini berkata, dia dan suami memang tinggal di kedai serbaneka itu atas kebenaran majikan sejak berkahwin hampir dua tahun lalu dan memang pernah berlaku kejadian kecurian namun tidak seteruk kali ini yang membabitkan senjata serta mencederakan suaminya.

"Kawasan depan kedai itu juga sering menjadi tempat lepak kumpulan mat rempit dan suami pernah mengadu perkara itu kepada polis kerana keadaan itu mungkin menyebabkan pelanggan takut ingin ke kedai.

"Tidak pasti sama ada kejadian ini membabitkan motif dendam atau hanya samun, namun berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedua-dua suspek terus memukul suami saya tanpa belas kasihan sebaik masuk ke dalam kedai," katanya.

Kejadian samun itu turut dirakam CCTV yang menunjukkan mangsa dibelasah oleh dua suspek yang bersenjata dan memakai topi keledar.

Difahamkan kejadian itu membabitkan enam suspek yang menaiki tiga motosikal dan mengakibatkan kerugian wang tunai RM500 dalam mesin juruwang di kaunter, rokok jualan dan telefon bimbit isteri mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 3:51 PM
HARUN parah di kepala dan tangan kiri selepas dibelasah penyamun. FOTO ihsan keluarga
HARUN parah di kepala dan tangan kiri selepas dibelasah penyamun. FOTO ihsan keluarga