Marah pula SS apabila mendapat tahu perangai seorang pelakon baru yang main naik 'belang' dan berlagak seakan-akan bertaraf antarabangsa pula.

Setahu SS, dia baru popular menerusi satu drama saja. Itu pun, sebaik saja tamat drama itu, SS sudah jarang dengar namanya berkumandang apalagi mahu disebut kehebatannya.

Tapi, dengarnya lagak pelakon setahun jagung itu bukan main melampau sekarang ini. Sehinggakan, yang orang bukan dalam industri hiburan pun naik menyampah!

Kisahnya, pelakon itu menjayakan sebuah sesi fotografi baru-baru ini. Bukan majalah antarabangsa mahupun majalah tempatan yang gah pun. Sesi fotografi biasa-biasa saja.

Peliknya, bukan main ramai lagi pembantu yang dibawanya ke sesi fotografi terbabit. Itu tak termasuk jurumekap yang mendandannya.

Paling menjengkelkan tatkala sudah mula beraksi depan kamera, tiba-tiba pembantunya pula melebih-lebih menyuruh kru di sana memasang lagu dengan alasan pelakon berkenaan tidak dapat ambil 'feel' kalau tiada muzik.

Amboi, sudah macam ambil gambar 'supermodel' antarabangsa pula lagaknya. Banyak lagi artis gah lain yang SS pernah dengar bekerja dengan kru itu, tiadalah sampai begitu permintaannya.

SS: Selalu seronok jumpa Datuk Rossa. Biarpun diva, tapi peribadinya sangat rendah diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:03 AM